1 Dengarlah perkataan dalam rintihanku ini tentang kamu, wahai keturunan kaum Israel,
2 “Sang perawan Israel telah jatuh dan tidak dapat bangkit lagi. Dia terbuang di buminya sendiri, dan tiada sesiapa untuk membantunya bangun lagi.”
3 Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Kota yang maju berperang dengan seribu orang hanya akan ada saki-baki seratus orang. Kota yang maju berperang dengan seratus orang hanya akan ada sisa sepuluh orang bagi keturunan kaum Israel.”
4 Beginilah firman TUHAN kepada keturunan kaum Israel, “Carilah Aku, maka kamu akan hidup!
5 Jangan mencari Betel, jangan masuk ke Gilgal, dan jangan menyeberang ke Bersyeba, kerana Gilgal pasti hanya menuju pembuangan dan Betel akan dilenyapkan.”
6 Carilah TUHAN, maka kamu akan hidup. Jangan sampai Dia memancar seperti api menentang keturunan kaum Yusuf dan merentungkan Betel tanpa ada yang mampu memadamkan api itu.
7 Wahai kamu yang mengubah keadilan kepada suatu kepahitan dan mencampakkan yang benar ke tanah!
8 Dia yang membuat Bintang Kartika dan Bintang Belantik, yang mengubah kekelaman untuk menjadi pagi hari, dan yang membuat siang menjadi gelap seperti malam; Dia yang memanggil air laut dan mencurahkannya ke permukaan bumi – TUHAN, itulah nama-Nya.
9 Dia yang mendatangkan kebinasaan atas yang kuat sehingga kebinasaan melanda kota berkubu.
10 Mereka membenci orang yang memberikan teguran di sidang pengadilan dan mereka memandang keji orang yang berkata benar.
11 Maka atas sebab kamu menginjak-injak orang miskin dan mengambil riba gandum daripadanya, sungguhpun kamu membangunkan rumah daripada batu pahat, kamu tidak akan mendiami rumah itu. Sungguhpun kamu menanam kebun-kebun anggur yang indah, kamu tidak akan meminum air anggurnya.
12 Sebab Aku tahu berapa banyak pelanggaranmu dan berapa besar dosamu, wahai kamu yang menyempitkan lagi kehidupan orang benar, yang mengambil wang suap, dan yang memutarbalikkan hak orang yang melarat di sidang pengadilan.
13 Oleh sebab itu orang yang bijak akan berdiam diri pada waktu itu, kerana waktu itu waktu jahat.
14 Carilah yang baik, jangan yang jahat, supaya kamu hidup. Dengan demikian TUHAN, Allah alam semesta, akan menyertai kamu, seperti yang kamu katakan.
15 Bencilah yang jahat dan cintailah yang baik, tegakkanlah keadilan dalam sidang pengadilan, barangkali TUHAN, Allah alam semesta, akan mengasihani saki-baki keturunan Yusuf.
16 Maka beginilah firman TUHAN, Allah alam semesta, Tuhan: “Di segala tempat umum akan ada ratapan, di segala jalan orang akan berkata, ‘Alahai! Alahai!’ Petani akan dipanggil untuk berkabung, juga orang yang pandai membawa rintihan lagu perkabungan.
17 Di segala kebun anggur akan ada ratapan, kerana Aku akan melintas di tengah-tengah kamu,” demikianlah firman TUHAN.
18 Malangnya kamu yang menginginkan hari TUHAN! Apa gunanya hari TUHAN itu bagimu? Hari itu hari gelap dan bukan terang,
19 ibarat seorang yang lari menghindari singa tetapi seekor beruang mengadangnya, lalu ketika dia masuk ke dalam rumah dan menopang tangan ke dinding, seekor ular memagutnya pula.
20 Bukankah hari TUHAN itu kegelapan dan bukan terang, kelam pekat dan tidak bercahaya?
21 “Aku membenci, Aku memandang hina perayaan-perayaanmu. Aku tidak suka pada perhimpunan hari-hari perayaan kamu.
22 Bahkan sekalipun kamu mempersembahkan kepada-Ku segala korban bakaran dan persembahan bahan makananmu, Aku tidak akan berkenan menerimanya. Aku tidak mahu memandang korban-korban kedamaian daripada ternakan kamu yang tambun.
23 Jauhkanlah daripada-Ku keramaian nyanyian-nyanyianmu. Aku tidak mahu mendengar irama gambusmu.
24 Sebaliknya, biarlah keadilan bergulung-gulung seperti air dan perbenaran seperti sungai yang selalu mengalir.
25 Adakah selama empat puluh tahun di tanah gurun kamu mempersembahkan kepada-Ku korban sembelihan dan persembahan, hai keturunan kaum Israel?
26 Kamu akan mengusung Sakut, rajamu, dan Kewan, tuhan-tuhan bintangmu, berhala-berhala yang telah kamu buat bagimu itu.
27 Lalu Aku akan membuang kamu, jauh ke seberang Damsyik,” demikianlah firman TUHAN, yang bernama Allah alam semesta.