1 Yotam berumur dua puluh lima tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama enam belas tahun. Nama ibunya ialah Yerusa anak Zadok.
2 Dia melakukan apa yang benar di mata TUHAN seperti semua yang dilakukan Uzia, ayahnya, hanya dia tidak masuk ke dalam Bait Suci TUHAN. Namun demikian, rakyat masih terus melakukan kemungkaran.
3 Dia membina Pintu Gerbang Atas di Bait TUHAN dan mengerjakan banyak pembinaan pada tembok Ofel.
4 Dia turut membina kota-kota di pergunungan Yehuda, serta beberapa buah kubu dan menara di kawasan hutan.
5 Dia berperang melawan raja bani Amon dan mengalahkan mereka. Pada tahun itu juga bani Amon mempersembahkan kepadanya seratus talenta perak, sepuluh ribu kor gandum, dan sepuluh ribu kor barli, demikian pula pada tahun kedua dan tahun ketiga.
6 Yotam menjadi kuat kerana dia mengarahkan hidupnya kepada TUHAN, Allahnya.
7 Riwayat Yotam yang selebihnya, semua peperangannya dan perilakunya, sesungguhnya semua itu tertulis dalam kitab raja-raja Israel dan Yehuda.
8 Umurnya dua puluh lima tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama enam belas tahun.
9 Lalu Yotam dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dia dimakamkan di Kota Daud. Maka Ahas, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.