1 Pada tahun ketiga puluh enam zaman pemerintahan Asa, majulah Baesa, raja Israel, menyerang Yehuda. Dia membina Rama untuk mencegah orang keluar atau masuk ke wilayah Asa, raja Yehuda.
2 Maka Asa mengambil perak dan emas daripada perbendaharaan Bait TUHAN dan dari istana raja. Dia mengirimkannya kepada Benhadad, raja Aram yang tinggal di Damsyik, dengan pesan,
3 “Ada perjanjian antara aku dengan tuan, antara ayahku dengan ayah tuan. Lihatlah, aku mengirimkan kepada tuan perak dan emas. Batalkanlah perjanjian tuan dengan Baesa, raja Israel, supaya dia berundur daripadaku.”
4 Benhadad mendengar Raja Asa. Lalu disuruhnya para panglima pasukannya menyerang kota-kota Israel. Mereka mengalahkan Iyon, Dan, Abel-Maim, dan semua kota perbekalan di Naftali.
5 Pada waktu Baesa mendengar hal itu, berhentilah dia membina Rama dan dia juga membatalkan pekerjaan itu.
6 Kemudian Raja Asa mengerahkan semua orang Yehuda. Mereka mengangkut batu dan kayu yang digunakan oleh Baesa untuk membina Rama, lalu dengan semua itu dia membangunkan Geba serta Mizpa.
7 Pada waktu itu datanglah Hanani, pelihat itu, menghadap Asa, raja Yehuda, dan berkata kepadanya, “Kerana engkau bersandar kepada raja Aram dan tidak bersandar kepada TUHAN, Allahmu, maka luputlah pasukan raja Aram daripada tanganmu.
8 Bukankah dahulu orang Kush dan orang Libia merupakan pasukan besar dengan banyak sekali rata dan pasukan berkuda? Tetapi ketika engkau bersandar kepada TUHAN, Dia menyerahkan mereka ke dalam tanganmu.
9 Sesungguhnya, mata TUHAN menjelajah seluruh bumi untuk memberikan kekuatan kepada orang yang tulus hati terhadap-Nya. Dalam hal ini engkau telah bertindak bodoh, kerana itu mulai sekarang engkau akan mengalami peperangan.”
10 Asa menjadi murka kepada pelihat itu. Dimasukkannya Hanani ke dalam penjara, kerana dia geram terhadapnya atas hal itu. Pada waktu itu Asa juga menindas beberapa orang daripada rakyatnya.
11 Riwayat Asa dari awal sampai akhir semuanya tertulis dalam kitab raja-raja Yehuda dan Israel.
12 Pada tahun ketiga puluh sembilan zaman pemerintahannya, Asa menderita sakit pada kedua-dua belah kakinya. Penyakitnya itu bertambah parah. Akan tetapi, dalam kesakitannya dia tidak mencari pertolongan TUHAN, melainkan pertolongan para tabib.
13 Lalu Asa dibaringkan bersama-sama nenek moyangnya. Dia mati pada tahun keempat puluh satu zaman pemerintahannya,
14 dan dia dimakamkan di permakaman yang telah digalinya bagi dirinya di Kota Daud. Jenazahnya dibaringkan di atas perbaringan yang penuh dengan rempah-ratus dan wangi-wangian yang dicampurkan menurut kepandaian tukang rempah-ratus. Api yang sangat besar dinyalakan untuk menghormatinya.