1 Daud mengucapkan perkataan nyanyian ini kepada TUHAN ketika TUHAN menyelamatkannya daripada cengkaman semua musuhnya dan daripada tangan Saul.
2 Dia berkata, “TUHAN ialah batu pejalku, kubuku, dan penyelamatku.
3 Allahku batu pejalku, kepada-Nya aku berlindung. Dialah perisaiku, tanduk penyelamatanku, benteng pertahananku, dan penyelamatku. Engkau menyelamatkan aku daripada keganasan.
4 Aku berseru kepada TUHAN yang patut dipuji, maka aku pun diselamatkan daripada musuhku.
5 Sesungguhnya, gelora badai maut mengepungku, curahan banjir kebinasaan mengerikanku,
6 seksa alam kubur melilit aku, rahang jerat maut mendesak aku.
7 Maka dalam kesesakanku aku berseru kepada TUHAN, aku meraung kepada Allahku, dan Dia mendengar suaraku dari Bait Suci-Nya, raunganku sampai kepada pendengaran-Nya.
8 Maka bumi pun gempa dan gementar, tapak langit bergegar dan bergoncang; kerana Dia murka.
9 Asap naik daripada hidung-Nya, dan api daripada mulut-Nya menghanguskan, dan bara menyala keluar daripada-Nya.
10 Dia menekuk langit lalu turun, kelam pekat ada di bawah kaki-Nya.
11 Dia terbang mengenderai malaikat kerubin; Dia melayang di sayap angin.
12 Dia menjadikan kegelapan di lelangit di sekeliling-Nya: diselubungi timbunan air kelam dan awan tebal di udara.
13 Kerana cahaya di hadapan-Nya, bara api menyala.
14 TUHAN mengguntur dari langit, Yang Maha Tinggi memperdengarkan suara-Nya.
15 Dia melepaskan anak-anak panah-Nya sehingga tercerai-berailah mereka, iaitu kilat, sehingga kacaulah mereka.
16 Lalu terlihatlah alur-alur laut, dan alas-alas dunia tersingkap oleh herdikan TUHAN, oleh hembusan nafas hidung-Nya.
17 Daripada ketinggian Dia menjangkau dan mengambil aku, Dia menarik aku keluar daripada limpahan air.
18 Dia menyelamatkan aku daripada musuhku yang gagah dan daripada kalangan yang membenci aku, kerana mereka terlalu kuat bagiku.
19 Mereka bersemuka dengan aku pada hari bencanaku, tetapi TUHAN jualah sandaranku.
20 Dia membawa aku keluar, ke tempat yang lapang, Dia menyelamatkan aku kerana Dia berkenan padaku.
21 TUHAN memperlakukan aku selaras dengan perbenaranku . Dia membalas aku selaras dengan kesucian tanganku,
22 kerana aku tetap mengikuti jalan-jalan TUHAN dan tidak menyeleweng daripada Allahku dengan melakukan kejahatan;
23 kerana segala hukum-Nya ada di hadapanku, dan aku tidak berpaling daripada ketetapan-ketetapan-Nya.
24 Aku tidak bercela di hadapan-Nya, dan aku menjaga diri daripada kesalahan.
25 Oleh sebab itu TUHAN membalas aku selaras dengan perbenaranku dan selaras dengan kesucianku di hadapan mata-Nya.
26 Kepada orang yang berbelas kasihan, Engkau memperlihatkan belas kasihan-Mu, kepada orang yang tidak bercela, Engkau memperlihatkan diri-Mu tidak bercela,
27 kepada orang yang suci, Engkau memperlihatkan kesucian-Mu, kepada orang yang menipu, Engkau memperlihatkan kearifan-Mu.
28 Umat yang tertindas Kauselamatkan, tetapi mata-Mu memandang orang yang berhidung tinggi, agar mereka Kaurendahkan.
29 Engkaulah pelitaku, ya TUHAN, dan TUHAN menerangi kegelapanku.
30 Kerana Engkau, aku dapat menerobos suatu gerombolan, kerana Allahku aku dapat melompati tembok.
31 Allah itu jalan-Nya sempurna, firman TUHAN memang teruji. Dialah perisai bagi semua orang yang berlindung kepada-Nya.
32 Siapakah Allah selain TUHAN, dan siapakah batu pejal selain Allah kita?
33 Allah bentengku yang teguh, Dia membuat jalanku tidak bercela.
34 Dia menjadikan kakiku seperti kaki rusa dan menegakkan aku agar teguh di tempat-tempat yang tinggi.
35 Dia mengajar tanganku berperang, sehingga lenganku dapat melenturkan busur gangsa.
36 Engkau mengurniakan kepadaku perisai penyelamatan-Mu dan kelembutan-Mu menjadikan aku hebat.
37 Engkau melapangkan tempat pijakanku, sehingga kakiku tidak tergelincir.
38 Aku mengejar musuh-musuhku serta memusnahkan mereka, dan tidak kembali sebelum menumpaskan kesemua mereka.
39 Aku menumpaskan mereka dan menghancurkan mereka, sehingga mereka tidak dapat bangkit lagi. Mereka rebah di bawah kakiku.
40 Engkau telah melengkapkan aku dengan kekuatan untuk berperang, Mereka yang bangkit melawan aku Engkau taklukkan di bawahku.
41 Engkau membuat musuh-musuhku lari membelakangiku. Kubinasakan kalangan yang membenci aku.
42 Mereka mencari pertolongan, tetapi tidak ada yang menyelamatkan, mencarinya daripada TUHAN, tetapi Dia tidak menjawab mereka.
43 Kuhancurkan mereka seperti debu tanah, kutumbuk dan kuinjak-injak mereka seperti lumpur di jalan.
44 Engkau menyelamatkan aku daripada perbantahan rakyatku. Engkau memelihara aku sebagai kepala bangsa-bangsa, suku bangsa yang tidak kukenal menghambakan diri kepadaku.
45 Orang asing tunduk kepadaku, baru sahaja mereka mendengar, mereka terus taat kepadaku.
46 Orang asing menjadi putus asa dan keluar dari kubu-kubu mereka dengan gementar.
47 TUHAN hidup! Segala puji bagi batu pejalku! Semoga Allah, batu pejal penyelamatanku, ditinggikan!
48 Allah menuntut balas bagiku, dan menaklukkan suku-suku bangsa ke bawah kuasaku.
49 Dialah yang membebaskan aku daripada musuh-musuhku. Engkau meninggikan aku demi mengatasi orang yang bangkit melawan aku, Engkau melepaskan aku daripada orang yang melakukan kekerasan.
50 Oleh sebab itu aku akan mengucap syukur kepada-Mu, ya TUHAN, antara bangsa-bangsa, dan aku akan melantunkan puji-pujian atas nama-Mu.
51 TUHAN memberikan penyelamatan besar kepada orang yang dijadikan-Nya raja; Dia melimpahkan kasih setia kepada orang yang diurapi-Nya, kepada Daud, sampai anak cucu selama-lamanya.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Samuel 22
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Samuel 22

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV