1 Hizkia berumur dua puluh lima tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama dua puluh sembilan tahun. Nama ibunya ialah Abia anak Zakharia.
2 Dia melakukan apa yang benar di mata TUHAN, seperti semua yang dilakukan oleh Daud, leluhurnya.
3 Pada bulan pertama dalam tahun pertama pemerintahannya, Hizkia membuka pintu-pintu Bait TUHAN dan memperbaiknya.
4 Dibawanya para imam dan bani Lewi, lalu dikumpulkannya mereka di halaman sebelah timur.
5 Katanya kepada mereka, “Dengarlah, wahai bani Lewi! Sucikanlah dirimu sekarang, dan sucikanlah Bait TUHAN, Allah nenek moyangmu. Keluarkanlah segala hal yang cemar daripada Tempat Suci.
6 Bapa-bapa kita telah berbuat mungkar. Mereka melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, Allah kita, dan meninggalkan-Nya. Mereka memalingkan muka dari tempat TUHAN bersemayam, dan membelakangi-Nya.
7 Bahkan mereka menutup pintu-pintu serambi dan memadamkan pelita-pelita. Mereka tidak membakar dupa dan tidak mempersembahkan korban bakaran di tempat suci kepada Allah Israel.
8 Sebab itulah murka TUHAN menimpa Yehuda dan Yerusalem. Dia membuat mereka menjadi kedahsyatan, kengerian, dan cemuhan seperti yang kamu lihat dengan matamu sendiri.
9 Sesungguhnya, kerana hal itulah bapa kita tewas oleh pedang, sedangkan anak-anak lelaki dan perempuan dan juga isteri kita menjadi tawanan.
10 Sekarang aku berniat mengikat perjanjian dengan TUHAN, Allah Israel, supaya surutlah murka-Nya yang menyala-nyala kepada kita itu.
11 Para anakku, sekarang janganlah lalai, kerana kamu telah dipilih TUHAN untuk berdiri di hadirat-Nya dan menyelenggarakan ibadat bagi-Nya, untuk menjadi hamba-Nya serta membakar dupa.”
12 Maka bangkitlah bani Lewi, daripada bani Kehat: Mahat anak Amasai dan Yo'el anak Azaria; daripada bani Merari: Kish anak Abdi dan Azaria anak Yehaleleel; daripada bani Gerson: Yoah anak Zima dan Eden anak Yoah;
13 daripada bani Elisafan: Simri dan Yeiel; daripada bani Asaf: Zakharia dan Matanya;
14 daripada bani Heman: Yehiel anak Simei; daripada bani Yedutun: Semaya dan Uziel.
15 Mereka mengumpulkan saudara mereka lalu menyucikan diri. Kemudian mereka datang untuk menyucikan Bait TUHAN menurut perintah raja, selaras dengan firman TUHAN.
16 Para imam masuk ke bahagian dalam Bait TUHAN untuk menyucikannya. Mereka membawa semua yang najis yang didapati mereka di dalam Bait Suci TUHAN ke pelataran Bait TUHAN. Lalu bani Lewi mengambilnya dan membawanya ke luar, ke Lembah Kidron.
17 Penyucian itu mulai dilaksanakan pada hari pertama pada bulan pertama, dan pada hari kelapan pada bulan itu mereka sampai di serambi Bait TUHAN. Mereka menyucikan Bait TUHAN selama lapan hari lagi, dan pada hari keenam belas pada bulan pertama itu mereka pun selesai.
18 Setelah itu, mereka masuk ke dalam menghadap Raja Hizkia dan berkata, “Kami telah menyucikan seluruh Bait TUHAN, mazbah korban bakaran dengan segala alat kelengkapannya, juga meja roti persembahan dengan segala alat kelengkapannya.
19 Segala alat kelengkapan yang dibuang Raja Ahas ketika dia berbuat mungkar pada masa pemerintahannya telah kami siapkan dan sucikan. Sekarang semua itu ada di depan mazbah TUHAN.”
20 Keesokan harinya Raja Hizkia bangun pagi-pagi. Dikumpulkannya para pembesar kota, lalu mereka pergi bersama-sama ke Bait TUHAN
21 sambil membawa tujuh ekor lembu jantan, tujuh ekor domba jantan, tujuh ekor anak domba, dan tujuh ekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa untuk kerajaan itu, untuk tempat suci, dan untuk orang Yehuda. Raja memerintahkan bani Harun, iaitu para imam, untuk mempersembahkan semua itu di atas mazbah TUHAN.
22 Mula-mula mereka menyembelih lembu-lembu jantan, lalu para imam menerima darahnya dan memercikkannya pada mazbah. Kemudian mereka menyembelih domba-domba jantan dan memercikkan darahnya pada mazbah. Setelah itu, mereka menyembelih anak-anak domba dan memercikkan darahnya pula pada mazbah.
23 Selanjutnya mereka membawa kambing-kambing jantan yang akan menjadi korban penghapus dosa ke hadapan raja serta jemaah. Mereka meletakkan tangan ke atas kambing-kambing itu,
24 lalu para imam menyembelihnya dan mempersembahkan darahnya di atas mazbah sebagai korban penghapus dosa untuk mengadakan pendamaian bagi semua orang Israel. Raja memang telah memerintahkan agar dipersembahkan korban bakaran dan korban penghapus dosa bagi semua orang Israel.
25 Dia menempatkan bani Lewi di Bait TUHAN dengan ceracap, gambus, dan kecapi, selaras dengan perintah Daud dan Gad, pelihat raja, serta Nabi Natan. Perintah itu berasal daripada TUHAN dengan perantaraan para nabi-Nya.
26 Maka berdirilah bani Lewi memegang alat-alat muzik Daud, sedangkan para imam memegang nafiri.
27 Hizkia memberikan perintah agar dipersembahkan korban bakaran di atas mazbah. Pada waktu upacara korban bakaran dimulai, mulalah diperdengarkan juga nyanyian bagi TUHAN dan bunyi nafiri mengikuti alat-alat muzik Daud, raja Israel.
28 Jemaah sujud menyembah sementara para penyanyi menyanyi dan para peniup nafiri meniup nafiri. Semua itu berlangsung sampai korban bakaran habis terbakar.
29 Setelah selesainya persembahan korban, raja berserta semua orang yang hadir berlutut dan sujud menyembah.
30 Raja Hizkia dan para pembesar memerintahkan bani Lewi untuk melantunkan puji-pujian kepada TUHAN dengan syair gubahan Daud dan Asaf, pelihat itu. Mereka pun melantunkan puji-pujian dengan gembira, lalu membongkok dan sujud menyembah.
31 Kemudian Hizkia berkata, “Sekarang kamu telah menyucikan dirimu bagi TUHAN. Marilah, bawalah korban sembelihan dan korban syukur ke Bait TUHAN.” Maka jemaah membawa korban sembelihan dan korban syukur. Selain itu setiap orang yang rela hati membawa juga korban bakaran.
32 Jumlah korban bakaran yang dibawa jemaah ialah 70 ekor lembu, 100 ekor domba jantan, dan 200 ekor anak domba. Semua itu menjadi korban bakaran untuk dipersembahkan kepada TUHAN.
33 Persembahan-persembahan suci terdiri daripada 600 ekor lembu dan 3,000 ekor domba.
34 Akan tetapi, jumlah imam terlalu sedikit, sehingga mereka tidak dapat menyiat kulit semua korban bakaran itu. Oleh sebab itu para saudara mereka, bani Lewi, membantu mereka sampai pekerjaan itu selesai dan sampai para imam menyucikan diri. Para bani Lewi memang lebih bersungguh-sungguh menyucikan diri daripada para imam.
35 Apatah lagi, korban bakaran itu banyak, juga lemak korban kedamaian dan persembahan minuman untuk segala korban bakaran itu. Demikianlah ibadat di Bait TUHAN ditetapkan kembali.
36 Hizkia dan seluruh rakyat bersukacita atas apa yang telah ditetapkan Allah bagi bangsa itu, kerana hal itu terjadi secara mendadak.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Tawarikh 29
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Tawarikh 29

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV