1 Yoas berumur tujuh tahun pada waktu dia menaiki takhta, dan dia bertakhta selama empat puluh tahun di Yerusalem. Nama ibunya ialah Zibya, dari Bersyeba.
2 Yoas melakukan apa yang benar di mata TUHAN selama Imam Yoyada hidup.
3 Yoyada memilih dua orang isteri baginya, lalu Yoas pun dikurniai anak-anak lelaki dan perempuan.
4 Beberapa waktu kemudian Yoas berniat memulihkan Bait TUHAN.
5 Maka dikumpulkannyalah para imam dan bani Lewi, lalu katanya kepada mereka, “Pergilah ke kota-kota Yehuda dan pungutlah wang daripada semua orang Israel untuk keperluan pembaikan Bait Allahmu setiap tahun. Lakukanlah hal itu dengan segera!” Akan tetapi, bani Lewi tidak segera melaksanakannya.
6 Oleh sebab itu raja memanggil Ketua Imam, Yoyada dan berkata kepadanya, “Mengapakah engkau tidak menuntut bani Lewi agar mereka membawa dari Yehuda dan dari Yerusalem cukai yang dikenakan Musa, hamba TUHAN itu, kepada jemaah Israel untuk khemah tempat loh hukum?
7 Kerana anak-anak Atalya, perempuan fasiq itu, telah membongkar Rumah Allah, bahkan menggunakan semua barang suci Bait TUHAN untuk para Baal.”
8 Maka atas perintah raja dibuatlah sebuah peti lalu ditempatkan di luar pintu gerbang Bait TUHAN.
9 Setelah itu, disebarkanlah pengumuman di Yehuda dan Yerusalem bahawa mereka harus mempersembahkan kepada TUHAN cukai yang dikenakan Musa, hamba Allah itu, terhadap orang Israel di gurun.
10 Semua pembesar dan seluruh rakyat bergembira. Mereka pun membawa cukai masing-masing dan memasukkannya ke dalam peti itu sampai penuh.
11 Setiap kali, bani Lewi membawa peti itu kepada petugas raja, dan ketika mereka melihat bahawa wang di dalamnya sudah banyak, maka datanglah jurutulis raja serta petugas daripada ketua imam untuk mengosongkan peti itu. Selanjutnya mereka membawa peti itu kembali ke tempatnya. Demikianlah dilakukan mereka setiap hari, dan banyaklah wang yang terkumpul.
12 Raja dan Yoyada menyerahkan wang itu kepada para pekerja yang melaksanakan pekerjaan di Bait TUHAN. Mereka ini mengupah tukang batu dan tukang pahat untuk memulihkan Bait TUHAN, juga tukang besi dan tukang gangsa untuk memperbaik Bait TUHAN.
13 Para pekerja itu pun bekerja, dan pekerjaan perbaikan itu maju dalam tangan mereka. Mereka membangunkan Rumah Allah menurut keadaannya semula dan mengukuhkannya.
14 Setelah selesai, mereka membawa wang sisanya kepada raja dan Yoyada. Wang itu kemudian digunakan untuk membuat kelengkapan Bait TUHAN, iaitu kelengkapan-kelengkapan untuk ibadat dan persembahan korban, juga pedupaan-pedupaan serta kelengkapan-kelengkapan emas dan perak. Sepanjang hayat Yoyada korban bakaran sentiasa dipersembahkan di dalam Bait TUHAN.
15 Yoyada menjadi tua dan lanjut usia, lalu meninggal. Umurnya seratus tiga puluh tahun pada waktu kematiannya.
16 Dia dikebumikan di Kota Daud bersama-sama para raja kerana dia telah berbuat baik di Israel terhadap Allah dan Bait-Nya.
17 Setelah kematian Yoyada, para pembesar Yehuda datang dan sujud memberi hormat kepada raja. Sejak saat itu, raja mendengar mereka.
18 Mereka mengabaikan Bait TUHAN, Allah nenek moyang mereka, lalu beribadat kepada patung-patung Asyera dan berhala-berhala. Yehuda dan Yerusalem pun ditimpa murka kerana kesalahan mereka itu.
19 Bagaimanapun, TUHAN mengutus para nabi kepada mereka supaya mereka kembali kepada-Nya. Nabi-nabi itu mengingatkan mereka, tetapi mereka tidak mahu mendengar.
20 Kemudian Roh Allah menguasai Zakharia, anak Imam Yoyada. Dia tampil di depan rakyat dan berkata kepada mereka, “Beginilah firman Allah, ‘Mengapakah kamu melanggar perintah-perintah TUHAN sehingga kamu tidak beruntung? Kerana kamu meninggalkan TUHAN, maka Dia pun meninggalkan kamu.’ ”
21 Akan tetapi, mereka bersekongkol melawannya, dan atas perintah raja mereka melempari dia dengan batu di pelataran Bait TUHAN.
22 Raja Yoas tidak mengingat kebaikan yang ditunjukkan Yoyada, ayah Zakharia, kepadanya. Malah dia membunuh anak Yoyada itu. Menjelang kematiannya Zakharia berseru, “Semoga TUHAN melihatnya dan menuntut balas!”
23 Pada pergantian tahun, pasukan Aram maju menyerang Yoas. Mereka memasuki Yehuda dan Yerusalem lalu membunuh semua pemimpin bangsa di antara rakyat. Lalu mereka mengirimkan semua jarahan mereka kepada raja Damsyik.
24 Meskipun pasukan Aram datang dengan orang yang tidak banyak bilangannya, TUHAN menyerahkan pasukan yang sangat besar ke tangan mereka, kerana orang Yehuda telah meninggalkan TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Demikianlah orang Aram menjalankan hukuman terhadap Yoas.
25 Ketika mereka pergi, mereka meninggalkan Yoas dalam keadaan terluka parah. Pegawai-pegawainya pun kemudian bersekongkol melawannya kerana penumpahan darah anak Imam Yoyada itu, lalu membunuhnya di atas tempat tidurnya. Yoas mati dan dimakamkan di Kota Daud, tetapi tidak di permakaman raja.
26 Orang yang bersekongkol melawannya ialah Zabad, anak Simeat perempuan Amon, dan Yozabad, anak Simrit perempuan Moab.
27 Tentang anak-anaknya, pernyataan ilahi yang banyak menentang dia, dan pemulihan Rumah Allah, sesungguhnya semua itu tertulis dalam tafsiran kitab raja-raja. Maka Amazia, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.