1 Setelah Daud membina rumah-rumah bagi dirinya di Kota Daud, dia menyiapkan tempat untuk tabut Allah dan membentangkan sebuah khemah untuknya.
2 Pada waktu itu Daud berkata, “Tiada seorang pun boleh mengusung tabut Allah selain bani Lewi, kerana merekalah yang dipilih TUHAN untuk mengusung tabut TUHAN dan mengurusnya untuk selama-lamanya.”
3 Kemudian Daud menghimpunkan semua orang Israel di Yerusalem untuk mengangkut tabut TUHAN ke tempat yang telah disiapkannya.
4 Setelah itu, Daud mengumpulkan bani Harun dan bani Lewi.
5 Daripada bani Kehat: Uriel, pemimpin, dengan 120 orang saudaranya;
6 daripada bani Merari: Asaya, pemimpin, dengan 220 orang saudaranya;
7 daripada bani Gerson: Yo'el, pemimpin, dengan 130 orang saudaranya;
8 daripada bani Elisafan: Semaya, pemimpin, dengan 200 orang saudaranya;
9 daripada bani Hebron: Eliel, seorang pemimpin, dengan 80 orang saudaranya;
10 daripada bani Uziel: Aminadab, pemimpin, dengan 112 orang saudaranya.
11 Selanjutnya Daud memanggil Imam Zadok dan Imam Abyatar, serta bani Lewi, iaitu Uriel, Asaya, Yo'el, Semaya, Eliel, dan Aminadab.
12 Katanya kepada mereka, “Kamu para ketua kaum keluarga Lewi. Sucikanlah dirimu dan juga para saudaramu untuk mengangkut tabut TUHAN, Allah Israel, ke tempat yang telah kusiapkan.
13 Kali pertama dahulu bukan kamu yang mengusungnya, sehingga TUHAN, Allah kita, menyambar kita. Kita tidak mencari petunjuk-Nya seperti yang semestinya.”
14 Maka para imam dan bani Lewi pun menyucikan diri untuk mengangkut tabut TUHAN, Allah Israel.
15 Lalu bani Lewi mengusung tabut Allah itu dengan kayu pengusung di atas bahu mereka, seperti yang diperintahkan Musa menurut firman TUHAN.
16 Daud memerintahkan para pemimpin bani Lewi untuk menugaskan saudara-saudara mereka, iaitu para penyanyi, untuk membawa alat-alat muzik seperti gambus, kecapi, dan ceracap. Mereka harus memperdengarkan nada kegembiraan dengan nyaring.
17 Maka bani Lewi menugaskan Heman anak Yo'el, Asaf anak Berekhya daripada kalangan saudara-saudara mereka, dan Etan anak Kusaya daripada kalangan bani Merari, saudara-saudara mereka.
18 Mereka disertai pula para saudara mereka daripada kelompok kedua, iaitu Zakharia, Yaaziel, Semiramot, Yehiel, Uni, Eliab, Benaya, Maaseya, Matica, Elifele, Mikneya, serta Obed-Edom dan Yeiel, para penjaga pintu gerbang.
19 Para penyanyi, iaitu Heman, Asaf, dan Etan, harus memperdengarkan bunyi-bunyian ceracap tembaga.
20 Zakharia, Aziel, Semiramot, Yehiel, Uni, Eliab, Maaseya, dan Benaya harus memainkan gambus pada nada tinggi.
21 Matica, Elifele, Mikneya, Obed-Edom, Yeiel, dan Azazya harus memainkan kecapi yang lebih rendah lapan nada untuk memimpin nyanyian.
22 Kenanya ialah pemimpin bani Lewi dalam bidang nyanyian. Dia bertugas mengajarkan nyanyian kerana dia ahli dalam bidang itu.
23 Berekhya dan Elkana ialah penjaga pintu gerbang bagi tabut itu.
24 Sebanya, Yosafat, Netaneel, Amasai, Zakharia, Benaya, dan Eliezer, para imam, meniup nafiri di depan tabut Allah. Obed-Edom dan Yehia ialah penjaga pintu gerbang bagi tabut itu.
25 Daud, tua-tua Israel, dan pemimpin pasukan seribu pergi mengangkut tabut perjanjian TUHAN dari rumah Obed-Edom dengan sukacita.
26 Kerana Allah menolong bani Lewi yang mengusung tabut perjanjian TUHAN itu, maka dikorbankanlah tujuh ekor lembu dan tujuh ekor domba jantan.
27 Daud memakai jubah daripada kain linen halus, demikian juga semua bani Lewi yang mengusung tabut, para penyanyi, dan Kenanya, pemimpin nyanyian para penyanyi. Daud juga memakai baju efod daripada kain linen.
28 Seluruh orang Israel mengiringi pengangkutan tabut perjanjian TUHAN dengan sorak-sorai dan dengan bunyi sangkakala, nafiri, dan ceracap, sambil memperdengarkan permainan gambus dan kecapi.
29 Ketika tabut perjanjian TUHAN masuk ke Kota Daud, Mikhal anak Saul menjenguk dari jendela dan melihat Raja Daud sedang melompat-lompat serta menari-nari. Maka dalam hatinya, dia memandang rendah terhadap Daud.