1 Tidak beberapa lama kemudian setelah peristiwa itu, terjadilah hal yang berikut. Nabot, orang Yizreel, mempunyai kebun anggur yang terletak di Yizreel, di sisi istana Ahab, raja Samaria.
2 Ahab berkata kepada Nabot, “Berilah aku kebun anggurmu itu untuk kujadikan kebun sayur, kerana letaknya dekat dengan istanaku. Aku akan memberimu kebun anggur yang lebih baik daripada itu sebagai gantinya, atau jika engkau lebih suka, aku akan membayarnya dengan wang senilai harganya.”
3 Kata Nabot kepada Ahab, “TUHAN melarang hamba untuk memberikan harta pusaka nenek moyang hamba kepada tuanku.”
4 Maka pulanglah Ahab ke istananya dengan marah dan geram kerana kata-kata yang diucapkan Nabot, orang Yizreel itu, kepadanya, “Hamba tidak boleh memberi tuanku harta pusaka nenek moyang hamba itu.” Lalu dia berbaring di tempat tidurnya sambil memalingkan mukanya, dan tidak mahu makan.
5 Izebel, isterinya, datang menghampirinya lantas bertanya kepadanya, “Mengapakah hatimu begitu marah sehingga engkau tidak mahu makan?”
6 Jawabnya kepada isterinya, “Tadi aku berbicara dengan Nabot, orang Yizreel itu, dan berkata kepadanya, ‘Juallah kebun anggurmu kepadaku, atau jika engkau lebih suka, aku akan memberimu kebun anggur lain sebagai gantinya.’ Tetapi jawabnya, ‘Hamba tidak boleh memberikan kepada tuanku kebun anggur hamba itu.’ ”
7 Kata Izebel, isterinya, kepadanya, “Bukankah engkau yang sekarang memerintah kerajaan Israel? Bangunlah, makanlah, dan senangkanlah hatimu. Aku akan memberikan kepadamu kebun anggur Nabot, orang Yizreel itu.”
8 Lalu Izebel menulis beberapa pucuk surat atas nama Ahab dan memateraikannya dengan materai raja. Dikirimnya surat-surat itu kepada tua-tua dan kepada bangsawan yang tinggal satu kota dengan Nabot.
9 Dalam surat-surat itu ditulisnya demikian, “Maklumkanlah puasa dan dudukkanlah Nabot di tempat yang terutama dalam kalangan rakyat.
10 Dudukkanlah juga di hadapannya dua orang penjahat dan biarlah mereka bersaksi menentang dia dengan mengatakan, ‘Engkau telah mengutuk Allah dan raja.’ Lalu bawalah dia keluar dan rejamlah dia sampai mati.”
11 Orang yang satu kota dengannya, iaitu tua-tua dan bangsawan yang tinggal di kotanya, melakukan apa yang diperintahkan Izebel kepada mereka, seperti tertulis dalam surat yang dikirimkannya kepada mereka.
12 Mereka memaklumkan puasa dan mendudukkan Nabot di tempat yang terutama di antara rakyat.
13 Kemudian datanglah kedua-dua orang penjahat itu. Mereka duduk di hadapannya lalu bersaksi menentang Nabot di hadapan rakyat, kata mereka, “Nabot telah mengutuk Allah dan raja.” Lalu mereka membawa dia keluar kota dan merejamnya dengan batu sampai mati.
14 Setelah itu, mereka menyuruh orang menghadap Izebel dan berkata, “Nabot telah mati direjam.”
15 Sebaik sahaja Izebel mendengar bahawa Nabot telah mati direjam, berkatalah Izebel kepada Ahab, “Bangunlah, ambillah kebun anggur Nabot, orang Yizreel itu, menjadi milikmu, iaitu kebun yang tidak mahu dijualnya kepadamu, kerana Nabot sudah tidak hidup lagi. Dia sudah mati.”
16 Sebaik sahaja Ahab mendengar bahawa Nabot sudah mati, segeralah dia pergi ke kebun anggur Nabot, orang Yizreel itu, untuk mengambilnya menjadi miliknya.
17 Maka datanglah firman TUHAN kepada Elia, orang Tisbe itu, demikian,
18 “Segeralah pergi dan temui Ahab, Raja Israel, yang tinggal di Samaria. Ketahuilah, dia sedang berada di kebun anggur Nabot. Dia pergi ke sana untuk mengambilnya menjadi miliknya.
19 Katakanlah kepadanya, ‘Beginilah firman TUHAN: Bukankah engkau telah membunuh orang dan mengambil miliknya pula?’ Katakan juga kepadanya, ‘Beginilah firman TUHAN: Di tempat anjing menjilat darah Nabot, di situ jugalah anjing akan menjilat darahmu.’ ”
20 Maka kata Ahab kepada Elia, “Engkau sudah tahu tembelang aku, wahai musuhku.” Jawabnya, “Benar, aku telah mengetahui tembelang engkau, kerana engkau telah menjual dirimu dengan melakukan apa yang jahat di mata TUHAN.
21 ‘Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan malapetaka ke atasmu. Aku akan menyingkirkan engkau dan melenyapkan daripada Ahab setiap lelaki, baik orang kurungan mahupun orang merdeka, daripada kalangan umat Israel.
22 Aku akan menjadikan keluargamu sama seperti keluarga Yerobeam anak Nebat dan seperti keluarga Baesa anak Ahia, kerana engkau telah membangkitkan murka-Ku dan kerana engkau telah menyebabkan orang Israel turut berdosa.’
23 Juga mengenai Izebel TUHAN berfirman demikian, ‘Anjing akan memakan Izebel dalam lingkungan tembok Yizreel.’
24 Sesiapa sahaja daripada orang Ahab yang mati di kota akan dimakan anjing, dan yang mati di padang akan dimakan oleh burung di udara.”
25 Memang belum pernah ada orang seperti Ahab, yang menjual diri dengan melakukan apa yang jahat di mata TUHAN kerana dipujuk oleh Izebel, isterinya.
26 Dia bertindak sangat keji dengan mengikuti berhala-berhala, sama seperti semua yang dilakukan oleh orang Amori, yang telah dihalau TUHAN di hadapan orang Israel.
27 Setelah Ahab mendengar kata-kata itu, dikoyakkannya pakaiannya, dikenakannya kain perkabungan pada tubuhnya, dan berpuasalah dia dan tidur dengan memakai kain perkabungan dan berjalan perlahan-lahan.
28 Maka datanglah firman TUHAN kepada Elia, orang Tisbe itu, demikian,
29 “Sudahkah kaulihat bagaimana Ahab merendahkan diri di hadapan-Ku? Kerana dia telah merendahkan diri di hadapan-Ku, maka Aku tidak akan mendatangkan malapetaka pada zamannya. Pada zaman anaknyalah Aku akan mendatangkan malapetaka ke atas keluarganya.”