1 Salomo membina istananya pula dan setelah tiga belas tahun lamanya, sempurnalah pembinaan seluruh istananya itu.
2 Bangunan yang dinamakannya “Istana Hutan Lebanon” itu sepanjang seratus hasta dan selebar lima puluh hasta, manakala tingginya tiga puluh hasta. Gedung ini disangga oleh empat deret tiang kayu araz dengan gelegar kayu araz di atas tiang-tiang itu.
3 Dari sisi atas, gedung ini ditutup dengan langit-langit kayu araz. Kayu araz itu ditempatkan di atas empat puluh lima batang gelegar yang disangga oleh tiang-tiang tadi, lima belas gelegar sederet.
4 Selain itu, ada tiga deret jendela berbidai yang saling berhadapan.
5 Semua pintu dan tiang pintu berbentuk segi empat, saling berhadapan dalam tiga deret.
6 Dia membuat pula Anjung Tiang sepanjang lima puluh hasta dan selebar tiga puluh hasta. Di depannya ada sebuah serambi yang bertiang dan sebuah bumbung di bahagian hadapannya.
7 Kemudian dibuatnya Balai Singgahsana, iaitu Balai Pengadilan tempat dia memutuskan hukum. Balai itu dipapankan dengan kayu araz dari lantai sampai ke langit-langit.
8 Rumah tempat tinggalnya sendiri terletak di laman dalam belakang yang lebih ke sebelah dalam berbanding dengan balai itu, dan kediamannya dibuat dengan cara yang sama. Selain itu, Salomo juga membuat sebuah rumah bagi puteri Firaun yang telah diperisterinya. Rumah itu serupa dengan balai ini.
9 Semua itu, dari dasar sampai ke atas dan dari luar sampai ke pelataran besar, terbuat daripada batu-batu mahal, iaitu batu yang dipahat menurut ukuran tertentu, digergaji dari sebelah dalam dan dari sebelah luar.
10 Dasarnya terbuat daripada batu-batu mahal pula, iaitu batu-batu besar, batu-batu berukuran sepuluh hasta dan lapan hasta.
11 Di bahagian atasnya pun terdapat batu-batu mahal, iaitu batu yang dipahat menurut ukuran tertentu, dan kayu araz.
12 Pelataran besar dikelilingi oleh tiga lajur batu pahat dan satu lajur gelegar kayu araz, serupa dengan pelataran dalam Bait TUHAN dan serambi bait itu.
13 Kemudian Raja Salomo mengutus orang untuk menjemput Huram dari Tirus.
14 Huram anak seorang balu daripada suku Naftali, manakala ayahnya warga Tirus dan seorang tukang gangsa. Dia seorang yang amat bijaksana, penuh dengan pengertian dan pengetahuan untuk mengerjakan sebarang pekerjaan yang menggunakan gangsa. Maka datanglah dia menghadap Raja Salomo, lalu melaksanakan segala yang ditugaskan kepadanya.
15 Dibentuknya dua batang tiang daripada gangsa, setiap tiang setinggi lapan belas hasta dan lilitan setiap tiang berukuran dua belas hasta.
16 Dibuatnya juga dua buah kepala tiang daripada gangsa tuangan untuk ditempatkan di atas tiang-tiang itu, setiap kepala tiang setinggi lima hasta.
17 Ada kerawang jala dan untaian rantai pada bahagian kepala-kepala tiang itu, tujuh kerawang untuk setiap kepala tiang.
18 Lalu dibuatnya dua deret buah delima berkeliling pada jala kepala tiang yang satu. Demikian juga dibuatnya untuk kepala tiang yang lagi satu itu.
19 Bahagian kepala di atas kedua-dua tiang dekat serambi itu berbentuk bunga bakung, empat hasta tingginya.
20 Kepala tiang itu ada di bahagian teratas dua tiang itu, dekat rongga di sisi jala, manakala buah delima sebanyak dua ratus buah itu berderet-deret berkeliling pada kedua-dua kepala tiang itu.
21 Kemudian didirikannya tiang-tiang itu di serambi Bait Suci. Tiang yang didirikannya di sebelah kanan dinamainya Yakhin, dan tiang yang didirikannya di sebelah kiri dinamainya Boas.
22 Pada kepala-kepala tiang itu terdapat bunga bakung buatan. Demikianlah dia menyelesaikan pekerjaan dengan membuat tiang-tiang itu.
23 Selanjutnya, dibuatnya kolam logam tuangan bulat berkeliling berukuran sepuluh hasta dari tepi ke tepi, setinggi lima hasta, dan dapat dililit oleh tali pengukur sepanjang tiga puluh hasta.
24 Di bawah tepi kolam itu ada arca buah labu yang mengitari sekelilingnya, sepuluh buah dalam sehasta. Buah labu yang terdiri daripada dua deret dibuat setuangan dengan kolam itu.
25 Kolam itu didirikan di atas dua belas ekor lembu jantan: tiga menghadap ke utara, tiga menghadap ke barat, tiga menghadap ke selatan, dan tiga menghadap ke timur. Kolam itu ditempatkan di atas lembu-lembu jantan itu, dengan semua buntut lembu itu mengarah ke dalam.
26 Tebal kolam itu setelapak tangan dan tepinya dibuat seperti tepi cawan, seperti bunga bakung yang mengembang. Kolam itu dapat memuat dua ribu bat air.
27 Setelah itu, dibuatnya sepuluh buah dasar penopang daripada gangsa, setiap satu sepanjang empat hasta, selebar empat hasta, dan setinggi tiga hasta.
28 Dasar penopang itu dibentuk daripada papan yang masing-masing diapit bingkai.
29 Pada papan-papan berbingkai itu terdapat gambar singa, lembu, dan kerubin, demikian juga pada bingkai-bingkainya. Di sebelah atas dan bawah gambar singa dan lembu itu ada karangan bunga buatan yang tergantung.
30 Setiap dasar penopang ada empat roda gangsa dengan gandar daripada gangsa juga. Pada keempat-empat penjurunya ada penyangga untuk menyangga bejana pembasuhan. Penyangga-penyangga itu dituang dan ada karangan bunga pada sisi masing-masing.
31 Pada dasar penopang itu ada semacam mulut, tingginya sehasta. Mulut itu bundar, berfungsi sebagai tumpuan, satu hasta setengah dalamnya. Di sekeliling mulut itu juga terdapat ukiran. Namun begitu, papan-papan bingkainya berbentuk segi empat, bukan bulat.
32 Keempat-empat roda ada di bahagian bawah kepingan papan itu, dan gandar-gandar rodanya menempel pada dasar penopang itu. Setiap roda setinggi satu hasta setengah,
33 sementara bentuk rodanya seperti roda rata. Gandarnya, lingkarnya, jejarinya, dan pusatnya, semuanya tuangan.
34 Pada keempat-empat sudut setiap dasar penopang itu terdapat empat penyangga, yang semuanya seiras dengan dasar penopang itu.
35 Di sebelah atas dasar penopang itu ada leher bundar, setengah hasta tingginya, dan juga ada penopang-penopang serta papan-papan yang seiras dengannya.
36 Pada muka penopang dan papan itu diukirnya gambar kerubin, singa, dan pokok kurma, setiap satunya selaras dengan ruang yang tersedia, dengan karangan bunga berkeliling.
37 Demikianlah dibuatnya sepuluh dasar penopang itu. Tuangannya, ukurannya, dan bentuknya sama semuanya.
38 Dia juga membuat sepuluh bejana pembasuhan daripada gangsa. Setiap bejana selebar empat hasta dan dapat memuat empat puluh bat air. Lalu setiap bejana ditempatkan di atas sepuluh dasar penopang itu.
39 Ditaruhnya lima dasar penopang di sebelah selatan bait itu dan lima di sebelah kiri. Kemudian kolam tuangan ditempatkannya di sebelah kanan bait, menghadap ke tenggara.
40 Huram juga membuat periuk, penyodok, dan bejana. Demikianlah Huram selesai semua pekerjaan yang harus dilakukannya bagi Raja Salomo di Bait TUHAN:
41 dua batang tiang, mangkuk kepala tiang yang ada di atas dua batang tiang itu; kedua-dua jala yang menudungi dua biji mangkuk kepala tiang itu;
42 empat ratus buah delima untuk kedua-dua jala itu, dua deret buah delima pada setiap jala yang menudungi dua biji mangkuk kepala tiang itu;
43 sepuluh penopang dengan sepuluh bejana pembasuhan di atas penopang itu;
44 sebuah kolam tuangan dengan kesemua dua belas arca lembu jantan di bawahnya;
45 Periuk, penyodok, dan bejana. Segala alat kelengkapan yang dibuat Huram bagi Raja Salomo di Bait TUHAN itu adalah daripada gangsa yang digilapkan.
46 Raja menyuruh agar semua itu dituang di Lembah Yordan, di dalam tanah liat, di antara Sukot dengan Sartan.
47 Semua alat kelengkapan itu dibiarkan Salomo tidak ditimbang kerana jumlahnya amat besar. Tidak dapat diketahui berat gangsa itu.
48 Salomo juga membuat segala alat kelengkapan yang ada di Bait TUHAN: mazbah daripada emas; meja-meja emas tempat roti persembahan;
49 kaki pelita daripada emas murni, lima di sebelah kanan dan lima di sebelah kiri, di hadapan ruang belakang; bunga-bunganya, pelita-pelitanya, dan penyepit-penyepitnya yang terbuat daripada emas;
50 mangkuk, sepit, bejana, pedupaan, dan perbaraannya yang diperbuat daripada emas murni; engsel-engsel daripada emas untuk pintu bait sebelah dalam, iaitu Tempat Yang Maha Suci, dan untuk pintu ruang besar Bait Suci.
51 Maka selesailah segala pekerjaan yang dilaksanakan Raja Salomo di Bait TUHAN. Salomo membawa masuk barang persembahan suci Daud, ayahnya, iaitu perak, emas, dan kelengkapan-kelengkapan itu, lalu menaruhnya di dalam perbendaharaan Bait TUHAN.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Raja-raja 7
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Raja-raja 7

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV