1 Setelah itu, Daud mengalahkan orang Filistin dan menakluki mereka. Dia merebut Gat dan kampung-kampungnya daripada tangan orang Filistin itu.
2 Dia juga mengalahkan orang Moab, sehingga orang Moab menjadi warga taklukan Daud dan wajib mempersembahkan ufti.
3 Selain itu Daud juga mengalahkan Hadadezer, raja Zoba, dekat Hamat, sewaktu dia pergi menegakkan kekuasaannya di Sungai Efrat.
4 Daripada raja itu, Daud menawan seribu buah rata, tujuh ribu orang pasukan berkuda, dan dua puluh ribu orang pasukan berjalan kaki. Selain itu, Daud memotong urat keting semua kuda rata tentera raja itu dan meninggalkan bilangan kuda yang cukup bagi seratus buah rata.
5 Maka datanglah pula orang Aram dari Damsyik untuk menolong Hadadezer, raja Zoba, tetapi Daud berjaya menumpaskan dua puluh dua ribu orang daripada kalangan Aram itu.
6 Kemudian Daud menempatkan pasukan pendudukan di Aram Damsyik. Orang Aram pun menjadi taklukan Daud dan wajib mempersembahkan ufti kepadanya. TUHAN mengurniakan kemenangan kepada Daud ke mana-mana sahaja dia pergi.
7 Daud mengambil perisai-perisai emas yang digunakan oleh para pegawai Hadadezer dan membawanya ke Yerusalem.
8 Dari Tibhat dan dari Kun, kota-kota Hadadezer, Daud mengambil banyak sekali gangsa. Dengan segala gangsa itulah Salomo membuat kolam gangsa, tiang-tiang, serta berbagai-bagai kelengkapan daripada gangsa.
9 Setelah Tou, raja Hamat, mendengar khabar bahawa Daud mengalahkan seluruh pasukan Hadadezer, raja Zoba,
10 maka diutusnya Hadoram, anaknya, kepada Raja Daud untuk menanyakan keadaannya dan mengucapkan selamat kepadanya kerana dia telah memerangi Hadadezer serta mengalahkannya. Dahulunya, Hadadezer memang sering memerangi Tou. Hadoram membawa berbagai-bagai barang daripada emas, perak, dan gangsa.
11 Raja Daud mentakdiskan kesemua itu bagi TUHAN bersama-sama perak dan emas yang diangkutnya daripada segala bangsa, iaitu daripada orang Edom, orang Moab, orang Amon, orang Filistin, dan orang Amalek.
12 Abisai anak Zeruya menewaskan lapan belas ribu orang Edom di Lembah Garam.
13 Dia menempatkan pasukan pendudukan di Edom sehingga semua orang Edom menjadi taklukan Daud. TUHAN mengurniakan kemenangan kepada Daud ke mana-mana sahaja dia pergi.
14 Demikianlah Daud bertakhta atas seluruh Israel dan menegakkan keadilan dan kesaksamaan bagi seluruh rakyatnya.
15 Yoab anak Zeruya mengepalai tentera. Yosafat anak Ahilud menjadi pencatat sejarah.
16 Zadok anak Ahitub dan Abimelekh anak Abyatar menjadi imam. Sausa menjadi jurutulis.
17 Benaya anak Yoyada mengetuai orang Kreti dan orang Pleti, manakala anak-anak Daud menjadi pegawai utama di sisi raja.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Tawarikh 18
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Tawarikh 18

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV