1 Inilah para lelaki yang datang kepada Daud di Ziklag ketika dia masih menyembunyikan diri kerana Saul anak Kish. Termasuk antara mereka ialah para kesateria yang membantunya dalam peperangan.
2 Mereka bersenjatakan busur panah, dan tahu memanah serta melontar batu dengan tangan kanan atau tangan kiri. Mereka itu para saudara Saul, daripada suku Benyamin:
3 Ahiezer sebagai ketua, dan Yoas, anak-anak Semaa orang Gibea; Yeziel dan Pelet, anak-anak Azmawet; Berakha dan Yehu, orang Anatot;
4 Yismaya, orang Gibeon, seorang daripada Tiga Puluh Orang Kesateria, dan yang bertanggungjawab atas Tiga Puluh Orang Kesateria itu; Yeremia, Yehaziel, Yohanan, dan Yozabad orang Gedera;
5 Eluzai, Yerimot, Bealya, Semarya, dan Sefaca orang Harufi;
6 Elkana, Yisia, Azareel, Yo'ezer, dan Yasobam, orang Korah;
7 Yo'ela dan Zebaja, anak-anak Yeroham, dari Gedor.
8 Daripada suku Gad ada juga yang memisahkan diri dan menemui Daud di kubu pertahanan, di gurun. Mereka itu kesateria yang gagah perkasa, kalangan yang mahir dalam ilmu peperangan dan pandai menggunakan perisai serta tombak. Paras mereka seperti singa dan tangkasnya seperti kijang di gunung:
9 Ezer, ketua; Obaja, orang kedua; Eliab, orang ketiga;
10 Mismana, orang keempat; Yeremia, orang kelima;
11 Atai, orang keenam; Eliel, orang ketujuh;
12 Yohanan, orang kelapan; Elzabad, orang kesembilan;
13 Yeremia, orang kesepuluh; Makhbanai, orang kesebelas.
14 Merekalah orang daripada bani Gad yang menjadi para ketua tentera; yang terkecil sebanding dengan seratus orang, dan yang terbesar sebanding dengan seribu orang.
15 Merekalah yang menyeberangi Sungai Yordan pada bulan pertama ketika sungai itu meluap sepanjang tepiannya, dan merekalah yang menghalau seluruh penduduk lembah itu ke sebelah timur dan ke sebelah barat.
16 Beberapa orang daripada bani Benyamin dan Yehuda datang ke kubu pertahanan mendapatkan Daud.
17 Daud keluar menyongsong mereka dan berkata kepada mereka, “Jika kamu datang menemuiku dengan tujuan berdamai, untuk membantuku, aku mahu bersekutu dengan kamu. Tetapi jika kamu datang untuk menyerahkan aku dengan tipu daya kepada lawan-lawanku padahal tidak ada kekerasan padaku, semoga Allah nenek moyang kita melihat hal itu dan menghukum kamu.”
18 Lalu Roh menguasai Amasai, pemimpin Tiga Puluh Orang Kesateria, dan dia berkata, “Kami ini milikmu, wahai Daud! Kami menyertaimu, wahai anak Isai! Sejahtera, sejahteralah engkau, dan sejahteralah para penolongmu, kerana Allahmu menolong engkau.” Maka Daud menyambut mereka dan mengangkat mereka untuk menjadi ketua pasukan.
19 Beberapa orang daripada bani Manasye pun ada yang membelot kepada Daud ketika dia maju bersama-sama orang Filistin untuk berperang melawan Saul. Sebenarnya Daud dan orangnya tidak membantu orang Filistin, kerana para raja kota orang Filistin itu berunding lalu menyuruhnya pergi. Kata mereka, “Dengan taruhan kepala kita dia akan membelot kembali kepada tuannya, Saul.”
20 Sementara Daud berjalan ke Ziklag, beberapa orang Manasye itu membelot kepadanya: Adnah, Yozabad, Yediael, Mikhail, Yozabad, Elihu, dan Ziletai, para ketua pasukan seribu daripada orang Manasye.
21 Mereka membantu Daud melawan gerombolan, kerana mereka semua kesateria yang gagah perkasa serta panglima tentera.
22 Dari hari ke hari, orang berdatangan kepada Daud untuk membantunya, sehingga mereka menjadi pasukan yang besar, seperti pasukan Allah.
23 Inilah jumlah orang bersenjata dan siap bertempur, yang datang kepada Daud di Hebron untuk mengalihkan kerajaan Saul kepadanya selaras dengan firman TUHAN:
24 Daripada bani Yehuda, yang mengangkat perisai dan tombak – 6,800 orang bersenjata dan siap bertempur.
25 Daripada bani Simeon, para kesateria yang gagah perkasa dan siap bertempur – 7,100 orang.
26 Daripada bani Lewi – 4,600 orang,
27 termasuk Yoyada, pemimpin bani Harun, dengan 3,700 orang yang menyertainya.
28 Selanjutnya Zadok, seorang kesateria muda yang gagah perkasa, dengan 22 orang pemimpin daripada kaum keluarganya.
29 Daripada bani Benyamin, para saudara Saul – 3,000 orang, kerana sampai saat itu kebanyakan daripada mereka masih tetap setia kepada keluarga Saul.
30 Daripada bani Efraim – 20,800 orang kesateria yang gagah perkasa, orang yang ternama antara kaum keluarga mereka.
31 Daripada separa suku Manasye – 18,000 orang yang terpilih khusus dengan nama mereka disebut untuk pergi menobatkan Daud menjadi raja.
32 Daripada bani Isakhar, orang yang mempunyai pengertian tentang saat-saat yang baik, sehingga mereka tahu apa yang patut diperbuat oleh orang Israel – 200 orang ketua, dengan semua saudara mereka di bawah perintah mereka.
33 Daripada bani Zebulon, orang yang sanggup berperang, pandai menggunakan segala jenis senjata perang, dan siap membantu tanpa bercabang hati – 50,000 orang.
34 Daripada bani Naftali – 1,000 orang pemimpin dan 37,000 orang yang menyertai mereka dengan perisai dan tombak.
35 Daripada bani Dan, orang yang pandai berperang – 28,600 orang.
36 Daripada bani Asyer, orang yang sanggup berperang dan yang pandai berperang – 40,000 orang.
37 Dari seberang Sungai Yordan, iaitu daripada bani Ruben, bani Gad, dan separa suku Manasye – 120,000 orang yang siap bertempur dengan segala jenis senjata perang.
38 Kesemuanya pejuang yang tahu mengatur barisan perang. Mereka datang ke Hebron dengan tulus hati untuk menobatkan Daud menjadi raja atas seluruh Israel. Semua orang Israel yang lain pun bersatu hati untuk menobatkan Daud menjadi raja.
39 Tiga hari lamanya mereka tinggal di sana bersama dengan Daud, makan dan minum, kerana para saudara mereka menjamu mereka.
40 Juga kalangan yang tinggal dekat mereka, bahkan dari daerah Isakhar, Zebulon, dan Naftali, membawa berlimpah-ruah makanan daripada tepung, kuih ara, kuih kismis, air anggur, minyak, juga sapi, domba – dimuat di atas keldai, unta, baghal, serta lembu – kerana ada sukacita di Israel.