1 Pada hari itu juga Raja Ahasyweros mengurniakan harta pusaka Haman, musuh orang Yahudi itu, kepada Ratu Ester. Lalu datanglah Mordekhai menghadap raja, kerana Ester telah memberitahu fasal pertalian Mordekhai dengannya.
2 Raja mencabut cincin materainya yang telah diambil kembali daripada Haman, dan mengurniakannya kepada Mordekhai. Lalu Ester pun mengangkat Mordekhai sebagai penguasa atas harta pusaka Haman.
3 Kemudian, Ester berbicara lagi kepada raja sambil bersujud di kaki baginda. Dengan menangis dia memohon belas kasihan supaya baginda membatalkan niat jahat Haman, bani Agag itu dalam hal rancangannya untuk membinasakan orang Yahudi.
4 Apabila baginda menghulurkan cokmar emas kepada Ester, maka bangkit dan berdirilah Ester di hadapan baginda.
5 Dia berkata, “Jika baik menurut raja dan jika tuanku bermurah hati kepada hamba sehingga hal ini dipandang benar oleh raja dan hamba mendapat perkenan tuanku, maka biarlah tuanku mengeluarkan perintah untuk menarik balik surat-surat Haman anak Hamedata, bani Agag itu, yang ditulisnya dengan muslihat untuk membinasakan orang Yahudi di seluruh wilayah kerajaan.
6 Bagaimanakah mungkin hamba dapat melihat malapetaka yang akan menimpa bangsa hamba? Bagaimanakah dapat hamba melihat pembinasaan sanak saudara hamba?”
7 Titah Raja Ahasyweros kepada Ratu Ester dan kepada Mordekhai, orang Yahudi itu, “Sesungguhnya, aku telah memberikan harta pusaka Haman kepada Ester, dan Haman sendiri telah digantung di tempat penggantungan atas sebab dia berniat memusnahkan orang Yahudi.
8 Kamu boleh menulis surat atas nama raja tentang orang Yahudi menurut apa yang kamu pandang baik. Materaikanlah surat itu dengan cincin materai raja, kerana surat yang ditulis atas nama raja dan yang dimaterai dengan cincin materai raja tidak dapat ditarik balik.”
9 Maka para jurutulis raja dipanggil pada ketika itu juga, iaitu pada hari kedua puluh tiga dalam bulan ketiga, iaitu bulan Siwan. Maka semua yang diarahkan oleh Mordekhai itu ditulislah dalam surat kepada orang Yahudi dan juga kepada para wakil raja, para pembesar, dan para pegawai wilayah dari India sampai ke Ethiopia, seratus dua puluh tujuh wilayah semuanya – setiap wilayah menurut tulisannya, setiap bangsa menurut bahasanya, dan kepada orang Yahudi menurut tulisan dan bahasa mereka.
10 Surat itu ditulis atas nama Raja Ahasyweros dan dimaterai dengan cincin materai raja, lalu dikirimkan dengan perantaraan para utusan pantas yang berkuda. Kuda-kuda yang ditunggangi mereka ialah kuda-kuda teji yang diternakkan di ladang kuda diraja.
11 Di dalam surat itu raja mengizinkan orang Yahudi yang ada di setiap kota untuk berkumpul dan mempertahankan diri masing-masing. Mereka boleh memusnahkan, membunuh, dan membinasakan mana-mana pasukan bangsa dan wilayah yang hendak menyerang mereka berserta kanak-kanak dan kaum perempuan mereka, dan boleh merampas harta milik kumpulan orang itu.
12 Hal itu hendaklah dilakukan dalam satu hari di seluruh wilayah Raja Ahasyweros, iaitu pada hari ketiga belas pada bulan kedua belas, bulan Adar.
13 Salinan titah itu dijadikan undang-undang di setiap wilayah dan diumumkan kepada segala bangsa, supaya orang Yahudi bersiap menjelang hari itu untuk menuntut balas atas para musuh mereka.
14 Para utusan pantas yang menunggang kuda teji kerajaan pun bersegeralah pergi atas perintah raja itu. Undang-undang itu juga dibentangkan di dalam puri Susan.
15 Kemudian Mordekhai keluar dari hadapan raja dengan memakai pakaian kerajaan berwarna biru dan putih, dengan mahkota emas yang besar, dan jubah daripada kain linen halus berwarna ungu. Seisi kota Susan pun bersorak-sorak dan bersukacita.
16 Dengan itu, orang Yahudi beroleh rasa selesa dan sukacita, kegirangan dan hormat.
17 Di setiap wilayah dan di setiap kota, di mana-mana sahaja perintah dan undang-undang raja itu sampai, ada sukacita dan kegirangan dalam kalangan orang Yahudi, ada jamuan dan hari yang baik hinggakan ramai orang di negeri itu menjadi orang Yahudi kerana diri mereka dilanda oleh rasa takut terhadap orang Yahudi.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ester 8
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ester 8

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV