1 Firman TUHAN yang turun kepada Yo'el anak Petuel.
2 Dengarlah ini, hai para tua-tua, dan pasanglah telinga, wahai seluruh penduduk negeri! Pernahkah terjadi hal semacam ini pada zamanmu atau pada zaman nenek moyangmu?
3 Ceritakanlah tentang itu kepada anak-anakmu dan biarlah anak-anakmu menceritakannya kepada anak-anak mereka, dan anak-anak mereka kepada angkatan yang berikutnya.
4 Apa yang ditinggalkan oleh belalang pengerat telah dimakan oleh kerumunan belalang besar. Apa yang ditinggalkan oleh kerumunan belalang besar telah dimakan oleh belalang pelahap. Apa yang ditinggalkan oleh belalang pelahap telah dimakan oleh belalang pemusnah.
5 Bangunlah, wahai para pemabuk, dan menangislah! Meraung-raunglah, wahai semua peminum air anggur, kerana air anggur baru, sebab air anggur itu telah dilenyapkan daripada mulutmu.
6 Sebuah bangsa telah maju menyerang negeriku, kuat dan tidak terhitung jumlah mereka. Giginya seperti gigi singa dan taringnya seperti taring singa betina.
7 Pokok anggurku telah dirosakkannya dan pokok araku telah dijadikannya serpihan. Disiatnya kulitnya sama sekali lalu dibuangnya, sehingga cabang-cabangnya menjadi putih.
8 Merataplah seperti anak dara yang memakai kain perkabungan kerana tunangan pada masa mudanya.
9 Persembahan bahan makanan dan persembahan minuman telah dilenyapkan daripada Bait TUHAN. Para imam berkabung, iaitu para petugas TUHAN.
10 Ladang musnah, tanah berkabung, kerana gandum musnah. Buah anggur mengering, dan minyak menyusut.
11 Kecewalah, wahai petani, meraung-raunglah, wahai pemelihara kebun anggur, kerana gandum dan kerana barli, sebabnya hasil tuaian ladang telah musnah.
12 Pokok anggur layu, pokok ara merana. Pokok delima, juga pokok kurma dan pokok epal, semua pokok di padang layu. Sungguh, kegirangan layu daripada kalangan anak manusia.
13 Pakailah kain perkabungan dan merataplah, wahai para imam, meraung-raunglah, wahai para petugas mazbah. Masuk dan bermalamlah dengan memakai kain perkabungan, wahai para petugas Allahku, kerana persembahan bahan makanan dan persembahan minuman telah ditahan daripada Bait Allahmu.
14 Adakanlah hari puasa, maklumkanlah perhimpunan jemaah yang suci. Kumpulkanlah para tua-tua dan seluruh penduduk negeri di Bait TUHAN, Allahmu, lalu berserulah kepada TUHAN.
15 Aduh, hari itu! Sungguh, hari TUHAN sudah dekat dan akan datang sebagai pemusnahan daripada Yang Maha Kuasa.
16 Bukankah makanan telah lenyap di hadapan mata kita, begitu juga kesukaan dan kegembiraan dari Bait Allah kita?
17 Benih-benih menjadi layu berkerepot di bawah tanah, kepuk-kepuk kosong melompong, jelapang-jelapang runtuh, kerana gandum telah layu.
18 Betapa binatang-binatang berkeluh-kesah! Kawanan-kawanan lembu gelisah, kerana tidak ada lagi padang rumput mereka. Malah yang menderita sama ialah kawanan-kawanan domba.
19 Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berseru kerana api telah melahap padang-padang rumput di gurun. Nyala api telah menghanguskan segala pokok di padang.
20 Bahkan binatang-binatang padang menjerit kepada-Mu, kerana saluran-saluran air telah kering dan api telah melahap padang-padang rumput di gurun.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yoel 1
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yoel 1

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV