1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Berbicaralah kepada Harun dan katakanlah kepadanya, ‘Apabila kamu memasang pelita, hendaklah ketujuh-tujuh pelita itu menerangi bahagian di hadapan kaki pelita.’ ”
3 Maka Harun pun melaksanakannya dengan memasang pelita-pelita itu untuk menerangi bahagian di hadapan kaki pelita, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
4 Dari alasnya hingga bunga-bunganya, seluruh kaki pelita itu diperbuat daripada emas tempaan, seperti yang diperlihatkan TUHAN kepada Musa, demikianlah dia membuat kaki pelita itu.
5 TUHAN berfirman kepada Musa,
6 “Pisahkanlah bani Lewi daripada kalangan orang Israel dan sucikanlah mereka.
7 Hendaklah kamu lakukan begini terhadap mereka demi menyucikan mereka: Percikkanlah pada mereka air penyucian lalu suruhlah mereka mencukur sekujur tubuh dan mencuci pakaian mereka.
8 Kemudian hendaklah mereka mengambil seekor lembu jantan muda berserta persembahan bahan makanannya daripada tepung terbaik yang dicampurkan dengan minyak zaitun. Hendaklah kamu juga mengambil seekor lembu jantan muda yang lain untuk korban penghapus dosa.
9 Setelah itu, bawalah bani Lewi mendekati depan Khemah Pertemuan dan kumpulkanlah seluruh kalangan umat Israel.
10 Ketika kamu memperhadapkan bani Lewi ke hadirat TUHAN, hendaklah orang Israel meletakkan tangan mereka ke atas bani Lewi itu,
11 dan hendaklah Harun mengunjukkan bani Lewi itu di hadapan TUHAN sebagai persembahan unjukan daripada orang Israel, supaya mereka dapat melaksanakan pekerjaan untuk TUHAN.
12 Kemudian, hendaklah bani Lewi meletakkan tangan mereka di atas kepala lembu-lembu jantan muda itu tadi dan hendaklah dipersembahkan salah seekor sebagai korban penghapus dosa dan yang seekor lagi sebagai korban bakaran untuk dipersembahkan kepada TUHAN, demi mengadakan pendamaian bagi bani Lewi.
13 Selanjutnya hadapkanlah bani Lewi kepada Harun dan kepada anak-anak Harun, lalu unjukkanlah mereka kepada TUHAN sebagai persembahan unjukan.
14 Demikianlah harus kamu asingkan bani Lewi daripada kalangan orang Israel, dan bani Lewi itu menjadi milik-Ku.
15 Setelah itu, barulah bani Lewi boleh masuk untuk melaksanakan pekerjaan di Khemah Pertemuan, iaitu setelah kamu menyucikan mereka dan mempersembahkan mereka sebagai persembahan unjukan.
16 Hendaklah mereka diserahkan sepenuhnya kepada-Ku daripada kalangan orang Israel, kerana Aku telah mengambil mereka bagi-Ku sebagai ganti semua yang lahir pertama, iaitu semua anak sulung antara orang Israel.
17 Semua anak sulung antara orang Israel ialah kepunyaan-Ku, baik manusia mahupun haiwan. Aku telah mentahbiskan mereka bagi-Ku pada waktu Aku menewaskan semua anak sulung di Tanah Mesir,
18 dan Aku mengambil bani Lewi sebagai ganti semua anak sulung antara orang Israel.
19 Selanjutnya Aku menyerahkan bani Lewi sebagai pemberian kepada Harun dan anak-anaknya daripada kalangan orang Israel untuk melaksanakan pekerjaan bagi orang Israel di Khemah Pertemuan dan untuk mengadakan pendamaian bagi orang Israel, supaya jangan orang Israel ditimpa wabak apabila mereka mendekati tempat suci.”
20 Maka Musa, Harun, dan seluruh kalangan umat Israel berbuat demikian terhadap bani Lewi. Mengikut segala yang diperintahkan TUHAN kepada Musa tentang bani Lewi, begitulah dilakukan orang Israel ke atas mereka.
21 Bani Lewi pun menyucikan diri masing-masing daripada dosa serta mencuci pakaian masing-masing, lalu Harun mempersembahkan mereka sebagai persembahan unjukan di hadapan TUHAN dan mengadakan pendamaian bagi mereka untuk menyucikan mereka.
22 Setelah itu, barulah bani Lewi boleh masuk untuk melaksanakan pekerjaan mereka di Khemah Pertemuan di bawah pengawasan Harun dan anak-anaknya. Seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa mengenai bani Lewi, demikianlah dilakukan kepada mereka.
23 TUHAN berfirman kepada Musa,
24 “Inilah arahan yang berkaitan dengan bani Lewi: hendaklah setiap orang yang berumur dua puluh lima tahun ke atas mengambil bahagian dalam pengerjaan tugas di Khemah Pertemuan
25 dan hendaklah mereka yang berumur lima puluh tahun berhenti daripada tugas mereka dan tidak lagi bekerja.
26 Namun demikian, mereka boleh membantu saudara mereka yang sedang menunaikan kewajipan masing-masing di Khemah Pertemuan, tetapi mereka tidak lagi melakukan pekerjaan itu. Demikianlah kewajipan yang harus kamu tugaskan kepada bani Lewi.”