1 Kemudian datanglah anak-anak perempuan Zelafehad anak Hefer anak Gilead anak Makhir anak Manasye, daripada kaum Manasye anak Yusuf. Nama-nama mereka ialah Mahla, Noa, Hogla, Milka, dan Tirza.
2 Berdirilah mereka menghadap Musa, Imam Eleazar, para pemimpin, serta seluruh umat itu di depan pintu Khemah Pertemuan lalu berkata,
3 “Ayah kami telah meninggal di gurun. Dia bukan antara pengikut Korah yang bermuafakat untuk melawan TUHAN, melainkan dia meninggal kerana dosanya sendiri. Akan tetapi, dia tidak mempunyai anak lelaki.
4 Mengapakah nama ayah kami harus lenyap daripada kaumnya hanya kerana dia tidak mempunyai anak lelaki? Jadi, berilah kami tanah milik daripada kalangan saudara-saudara ayah kami.”
5 Musa menyampaikan perkara mereka itu ke hadirat TUHAN.
6 Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Musa,
7 “Kata-kata anak-anak perempuan Zelafehad itu benar. Hendaklah kamu memberikan kepada mereka tanah harta pusaka dalam kalangan saudara-saudara ayah mereka, dan hendaklah kamu memindahkan harta pusaka ayah mereka kepada mereka.
8 Katakan pula kepada orang Israel, ‘Jika seseorang mati tanpa mempunyai anak lelaki, maka hendaklah kamu memindahkan harta pusakanya kepada anak-anak perempuannya.
9 Jika dia tidak mempunyai anak perempuan, berikanlah harta pusakanya kepada saudara-saudara lelakinya.
10 Jika dia tidak mempunyai saudara lelaki, berikanlah harta pusakanya kepada saudara-saudara lelaki ayahnya.
11 Jika ayahnya tidak mempunyai saudara lelaki, berikanlah harta pusakanya kepada kerabat terdekat daripada kalangan kaumnya untuk menjadi miliknya.’ ” Itulah ketetapan hukum yang harus berkuat kuasa ke atas orang Israel, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
12 TUHAN berfirman kepada Musa, “Naiklah ke Gunung Abarim itu dan lihatlah negeri yang telah Kukurniakan kepada orang Israel.
13 Sesudah kamu melihatnya, kamu pun akan dikumpulkan bersama-sama kaum leluhurmu seperti abangmu Harun,
14 sebab kamu berdua telah menderhaka terhadap firman-Ku di Gurun Zin pada waktu berlakunya pertengkaran dalam kalangan umat, sehingga kamu tidak menyatakan kesucian-Ku di hadapan mata mereka di mata air itu.” Itulah mata air Meriba dekat Kadesh, di Gurun Zin.
15 Kata Musa kepada TUHAN,
16 “Biarlah TUHAN, Allah atas roh semua manusia, melantik daripada umat ini seorang
17 yang akan memimpin pergerakan mereka dan yang akan membawa mereka keluar masuk, supaya jangan umat TUHAN seperti domba-domba yang tidak bergembala.”
18 Firman TUHAN kepada Musa, “Panggillah Yosua anak Nun, seorang yang penuh dengan Roh, lalu letakkanlah tanganmu atasnya.
19 Setelah itu, hadapkanlah dia kepada Imam Eleazar dan kepada seluruh umat, lalu berilah amanat kepadanya di hadapan mata mereka.
20 Kamu pun harus memberinya sebahagian daripada kewenanganmu, supaya seluruh umat Israel mentaatinya.
21 Hendaklah dia berdiri di depan Imam Eleazar yang akan menanyakan petunjuk baginya melalui keputusan Urim di hadapan TUHAN. Atas kata-kata imam itu, mereka akan keluar dan atas kata-kata imam itu, mereka akan masuk baik Yosua mahupun semua orang Israel, iaitu seluruh kalangan umat itu.”
22 Maka Musa melakukan segala-galanya seperti yang diperintahkan TUHAN kepadanya. Dia memanggil Yosua lalu menghadapkannya kepada Imam Eleazar serta kepada seluruh umat.
23 Kemudian dia meletakkan tangannya ke atas Yosua dan memberikan amanat kepadanya, seperti yang telah difirmankan TUHAN dengan perantaraan Musa.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Bilangan 27
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Bilangan 27

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV