1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Berbicaralah kepada orang Israel dan ambillah tongkat daripada setiap orang daripada pemimpin yakni satu tongkat dari setiap pemimpin, mewakili setiap suku kaum, iaitu sejumlah dua belas batang tongkat. Tuliskanlah nama para pemimpin itu pada tongkat masing-masing.
3 Nama Harun harus kamu tuliskan pada tongkat bani Lewi, kerana satu tongkat harus mewakili setiap ketua suku kaum.
4 Letakkanlah semua tongkat itu dalam Khemah Pertemuan, di hadapan tabut loh hukum, tempat Aku menemui kamu.
5 Nanti, sesiapa yang akan Kupilih, tongkatnya akan bertunas. Demikianlah Aku akan meredakan segala rungutan yang dilontarkan oleh orang Israel terhadap kamu.”
6 Maka berbicaralah Musa kepada orang Israel, lalu semua pemimpin mereka memberikan tongkat masing-masing kepadanya. Setiap pemimpin memberikan sebatang tongkat menurut suku kaum mereka, maka terdapat sejumlah dua belas batang tongkat. Tongkat Harun pun ada antara tongkat-tongkat itu.
7 Musa meletakkan tongkat-tongkat itu di hadapan TUHAN, di dalam khemah kesaksian.
8 Keesokan harinya ketika Musa masuk ke dalam khemah kesaksian, tampak tongkat Harun yang mewakili bani Lewi telah bertunas. Tongkat itu pun mengeluarkan kuncup, berbunga, dan menghasilkan buah badam.
9 Kemudian Musa membawa semua tongkat itu keluar dari hadirat TUHAN, ke hadapan seluruh orang Israel. Mereka melihat tongkat-tongkat itu, lalu setiap pemimpin mengambil tongkat masing-masing.
10 Berfirmanlah TUHAN kepada Musa, “Kembalikanlah tongkat Harun ke hadapan tabut loh hukum untuk disimpan sebagai tanda bagi orang derhaka itu. Dengan begitu kamu menamatkan segala rungutan mereka kepada-Ku, supaya jangan mereka mati.”
11 Maka Musa pun melaksanakannya. Dilakukannyalah seperti yang diperintahkan TUHAN kepadanya itu.
12 Kata orang Israel kepada Musa, “Sesungguhnya, kami akan mati! Kami binasa, kami semua binasa!
13 Sesiapa pun yang datang mendekati Khemah Suci TUHAN akan mati. Apakah kami semua akan binasa?”