1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Utuslah beberapa orang untuk mengintip keadaan Tanah Kanaan yang akan Kukurniakan kepada orang Israel. Utuslah seorang daripada setiap suku leluhur mereka dan setiap orang itu ialah pemimpin dalam kalangan sukunya.”
3 Musa pun mengutus mereka dari Gurun Paran, selaras dengan perintah TUHAN. Mereka semua ialah ketua orang Israel.
4 Inilah nama mereka: Syamua anak Zakur, daripada suku Ruben;
5 Safat anak Hori, daripada suku Simeon;
6 Kaleb anak Yefune, daripada suku Yehuda;
7 Yigal anak Yusuf, daripada suku Isakhar;
8 Hosea anak Nun, daripada suku Efraim;
9 Palti anak Rafu, daripada suku Benyamin;
10 Gadiel anak Sodi, daripada suku Zebulon;
11 Gadi anak Susi, daripada suku Yusuf, iaitu daripada suku Manasye;
12 Amiel anak Gemali, daripada suku Dan;
13 Setur anak Mikhail, daripada suku Asyer;
14 Nahbi anak Wofsi, daripada suku Naftali;
15 Guel anak Makhi, daripada suku Gad.
16 Itulah nama orang yang diutus Musa untuk mengintip negeri itu. Musa menamai Hosea anak Nun itu Yosua.
17 Mereka semua diutus oleh Musa untuk mengintip Tanah Kanaan. Katanya kepada mereka, “Pergilah dari sini ke Tanah Negeb lalu naiklah ke pergunungan.
18 Amatilah bagaimana keadaan negeri itu, sama ada bangsa yang mendiaminya kuat atau lemah, sedikit ataupun ramai.
19 Amatilah juga sama ada negeri yang didiami mereka itu baik ataupun buruk dan sama ada kota-kota yang didiami mereka itu berkubu ataupun seperti perkhemahan.
20 Bagaimana keadaan tanahnya, subur atau tandus, ada pepohonan ataupun tidak. Kuatkanlah hatimu dan bawalah beberapa jenis buah hasil negeri itu.” Waktu itu ialah musim buah anggur hasil pertama.
21 Maka pergilah mereka itu lalu mengintip negeri itu mulai Gurun Zin sampai ke Rehob, dekat jalan masuk ke Hamat.
22 Mereka berjalan melalui Tanah Negeb lalu sampai ke Hebron. Keturunan orang Enak, iaitu orang Ahiman, Sesai, dan Talmai, tinggal di sana. Hebron dibangunkan tujuh tahun lebih dahulu daripada Zoan di Mesir.
23 Kemudian sampailah mereka di Lembah Eskol. Di sana mereka mengerat sebatang cabang dengan setandan buah anggurnya, lalu dua orang memikulnya dengan sebatang kayu. Selain itu, mereka juga membawa buah delima dan buah ara.
24 Tempat itu dinamai Lembah Eskol kerana tandan buah anggur yang dikerat orang Israel di sana.
25 Empat puluh hari kemudian, kembalilah mereka yang telah mengintip negeri itu.
26 Mereka datang mendapatkan Musa, Harun, dan seluruh kalangan umat Israel yang berkumpul di Kadesh, di Gurun Paran. Mereka pun menyampaikan khabar kepada Musa dan Harun serta kepada seluruh umat itu, lalu memperlihatkan kepada semua orang buah-buahan hasil negeri itu.
27 Kepada Musa mereka bercerita demikian, “Kami telah sampai ke negeri tempat tuan utus kami. Memang negeri itu berlimpah-limpah susu dan madu. Inilah hasil buah-buahannya.
28 Hanya, bangsa yang mendiami negeri itu sangat kuat. Kota-kota mereka pun berkubu dan amat besar. Kami juga melihat keturunan orang Enak di sana.
29 Bani Amalek tinggal di Tanah Negeb. Bani Het, bani Yebus, dan bani Amori tinggal di pergunungan, sedangkan bani Kanaan tinggal di pesisir dan di tepi Sungai Yordan.”
30 Kaleb berusaha menenangkan hati bangsa itu di depan Musa, katanya, “Kita harus maju dan menduduki negeri itu, kerana kita pasti dapat mengalahkannya!”
31 Akan tetapi, orang yang pergi bersama-samanya berkata, “Kita tidak dapat menyerang bangsa itu, kerana mereka lebih kuat daripada kita!”
32 Lalu mereka menyampaikan laporan buruk kepada orang Israel tentang negeri yang diintip mereka itu, kata mereka, “Negeri yang kami jelajahi untuk diintai itu ialah negeri yang memakan penduduknya. Semua orang yang kami lihat di situ tinggi-tinggi belaka.
33 Kami melihat pula di sana orang Nefilim, iaitu keturunan Enak yang berasal daripada orang Nefilim. Di mata kami sendiri diri kami seperti belalang sahaja dan begitu jugalah di mata mereka.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Bilangan 13
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Bilangan 13

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV