1 Firman TUHAN yang turun kepada Mikha, orang Moresyet, pada zaman Yotam, Ahas dan Hizkia, raja-raja Yehuda, yakni penglihatannya tentang Samaria dan Yerusalem.
2 Dengarlah, wahai bangsa-bangsa sekalian! Perhatikanlah, wahai bumi dan segala isinya! Biarlah Tuhan ALLAH menjadi saksi terhadap kamu, TUHAN dari Bait-Nya yang suci.
3 Sesungguhnya, TUHAN datang dari tempat-Nya, dan Dia kelak datang menjejak tempat-tempat tinggi di bumi.
4 Luluhlah gunung-ganang di bawah-Nya dan terbelahlah segala lembah seperti lilin di depan api, seperti air tercurah di tempat curam.
5 Semua ini terjadi kerana pelanggaran Yakub, kerana dosa keturunan kaum Israel. Apakah pelanggaran Yakub? Bukankah itu Samaria? Di manakah bukit pemujaan Yehuda? Bukankah itu Yerusalem?
6 “Oleh sebab itu Aku akan menjadikan Samaria timbunan puing di padang, tempat untuk menanam kebun anggur. Aku akan menghamburkan batu-batunya ke lembah dan membuka dasar-dasarnya.
7 Segala patung ukirannya akan dihancurkan, segala upah sundalnya akan dibakar habis, dan segala berhalanya akan Kujadikan rosak. Kerana semuanya itu dikumpulkannya daripada upah pelacur, maka semuanya itu akan kembali menjadi upah pelacur.”
8 Itulah sebabnya aku akan meratap dan meraung-raung, aku akan berjalan tanpa kasut dan bertelanjang. Aku akan memperdengarkan ratapan seperti serigala dan perkabungan seperti burung unta,
9 kerana lukanya tidak tersembuhkan. Sesungguhnya, luka itu telah menjalar ke Yehuda, sampai ke pintu gerbang bangsaku, ke Yerusalem.
10 Jangan khabarkan hal itu di Gat, jangan sekali-kali menangis! Berguling-gulinglah di dalam debu di Bet-Le-Afra!
11 Berjalanlah, wahai penduduk Safir, dalam keadaan bogel dan aib. Penduduk Zaanan tidak berani keluar. Bet-Haezel meratap, perlindungannya direnggut daripadamu.
12 Penduduk Marot bersusah menantikan keadaan baik, kerana malapetaka telah turun daripada TUHAN ke pintu gerbang Yerusalem.
13 Pasanglah segala rata pada kuda-kuda teji, wahai penduduk Lakhis. Kota inilah mulanya dosa bagi puteri Sion, kerana pelanggaran Israel didapati di dalamnya.
14 Oleh sebab itu berikanlah hadiah perpisahan kepada Moresyet-Gat. Bani Akhzib akan menjadi tipu daya atas para raja Israel.
15 Aku masih akan mendatangkan penakluk bagimu, wahai penduduk Maresa! Kemuliaan Israel akan juga sampai ke Adulam.
16 Gondolkanlah kepalamu dan cukurlah rambutmu kerana para anak kesayanganmu. Jadikanlah kepalamu gondol seperti burung nasar, kerana mereka harus pergi daripadamu ke dalam pembuangan.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Mikha 1
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Mikha 1

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV