1 Betapa pudar sudah emas itu, betapa berubah emas murni itu! Batu-batu suci itu bertaburan di hujung setiap jalan.
2 Anak-anak Sion yang berharga, yang senilai dengan emas murni, betapa mereka dianggap bak periuk tanah buatan tangan tukang tembikar!
3 Serigala pun memberikan teteknya untuk menyusui anak-anaknya, tetapi para puteri bangsaku menjadi kejam seperti burung unta di gurun.
4 Lidah anak yang menyusu melekat pada langit-langit mulutnya kerana dahaga. Kanak-kanak meminta roti, namun tiada sesiapa yang menyua secebis pun.
5 Kalangan yang dahulunya makan juadah nikmat kini pengsan di jalan-jalan. Kalangan yang dahulunya dibaluti pakaian mahal kini memeluk timbunan sampah.
6 Hukuman atas kesalahan puteri bangsaku lebih berat daripada hukuman ke atas dosa Sodom, yang dimusnahkan dalam sekejap sahaja tanpa campur tangan manusia.
7 Para penguasanya dahulu lebih bersih daripada salji, dan lebih putih daripada air susu. Tubuh mereka lebih kemerahan daripada batu delima, susuk mereka seperti batu nilam.
8 Kini rupa mereka lebih hitam daripada jelaga, sehingga tidak dikenali di jalan-jalan. Kulit kerepot mereka melekat pada tulang, sudah kering seperti kulit kayu.
9 Lebih baik keadaan para korban bahana pedang daripada kalangan yang mati kelaparan, merana, kurus kering lalu mati beragan perlahan-lahan akibat kekurangan hasil ladang.
10 Tangan kaum wanita yang penyayang merebus anak-anak sendiri untuk menjadi makanan mereka pada masa kehancuran puteri bangsaku.
11 TUHAN melampiaskan sepenuh kemurkaan-Nya dan mencurahkan amarah-Nya yang menyala-nyala. Dia menyalakan api di Sion, yang melahap segala asas kota itu.
12 Raja-raja di bumi tidak percaya, begitu jugalah seluruh penduduk dunia, bahawa lawan dan musuh dapat memasuki pintu-pintu gerbang Yerusalem.
13 Hal itu terjadi kerana dosa para nabinya dan kesalahan para imamnya, yang menumpahkan darah orang yang benar di tengah-tengah kota itu.
14 Mereka mengembara di jalan-jalan seperti orang buta. Begitu tercemarnya mereka oleh darah hinggakan tiada sesiapa berani menyentuh pakaian mereka.
15 Orang berseru kepada mereka, “Nyahlah! Najis! Nyahlah! Nyahlah! Usah sentuh!” Mengembaralah mereka yang sudah menjadi pelarian lalu berkatalah umat bangsa-bangsa, “Mereka tidak boleh lagi tinggal di sini dalam kalangan kami!”
16 TUHAN sendiri menyelerakkan mereka, Dia tidak mahu lagi memandang mereka. Para imam tidak lagi dihormati, para tua-tua tidak lagi diberi keutamaan.
17 Mata kami juga sayu akibat kegagalan menantikan pertolongan, usaha yang sia-sia itu. Di menara pengintaian kami menantikan bangsa yang tidak dapat menyelamatkan kami.
18 Musuh kami gigih mengintai setiap langkah kami sehingga tidak dapat kami berjalan di tempat-tempat umum kami. Sudah dekat ajal kami, sudah lanjut umur kami, ya, sudah tiba ajal kami.
19 Lebih cepat kalangan yang mengejar kami berbanding burung rajawali di udara. Mereka memburu kami di pergunungan, dan menyerang hendap kami di gurun.
20 Orang yang diurapi TUHAN, nafas hidup kami tertangkap dalam lubang jebak mereka, padahal tadinya kami berfikir, “Di bawah naungannya kami akan hidup dalam kalangan bangsa.”
21 Bergiranglah dan bergembiralah, wahai puteri Edom, kamu kalangan penghuni Tanah Us! Cawan itu akan dialihkan kepadamu pula, engkau akan mabuk dan menelanjangi dirimu.
22 Sudah selesai hukumanmu, wahai puteri Sion, Dia tidak akan lagi membawa engkau ke dalam pembuangan. Sebaliknya, Dia akan membalas kesalahanmu, wahai puteri Edom dan mendedahkan segala dosamu!

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ratapan 4
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ratapan 4

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV