1 Pada hari yang ketiga, suatu majlis perkahwinan diadakan di kota Kana di negeri Galilea. Ibu Yesus turut hadir.
2 Yesus dan murid-murid-Nya juga dijemput ke majlis itu.
3 Apabila air anggur yang ada habis diminum, ibu Yesus berkata kepada-Nya, “Mereka kehabisan air anggur.”
4 Yesus menjawab, “Puan, usahlah suruh Aku. Saat-Ku belum tiba.”
5 Namun demikian, ibu Yesus berkata kepada pelayan-pelayan di majlis itu, “Buatlah apa sahaja yang disuruh-Nya.”
6 Di situ ada enam buah tempayan yang digunakan untuk istiadat penyucian orang Yahudi. Tiap-tiap tempayan dapat memuat kira-kira seratus liter air.
7 Yesus berkata kepada pelayan-pelayan, “Isilah tempayan-tempayan ini dengan air.” Mereka pun mengisi penuh keenam-enam tempayan itu.
8 Setelah itu, Yesus berkata pula, “Sekarang ambillah sedikit air itu, bawanya kepada ketua majlis.” Mereka pun menghidangkan air itu kepada ketua majlis.
9 Setelah ketua majlis merasa air yang telah menjadi air anggur itu, dia pun memanggil pengantin lelaki. Dia tidak tahu dari mana datangnya air anggur itu, tetapi para pelayan yang mengambil dan membawa air itu mengetahuinya.
10 Dia berkata kepada pengantin lelaki, “Selalunya orang menghidangkan air anggur yang terbaik di awal majlis. Setelah tetamu banyak minum, dihidangkan pula air anggur yang biasa sahaja. Tetapi kamu menyimpan dahulu air anggur yang terbaik, sekarang baru dihidangkan!”
11 Itulah mukjizat Yesus yang pertama dilakukan-Nya di Kana, Galilea. Dia menyatakan kemuliaan-Nya, maka murid-murid-Nya percaya kepada-Nya.
12 Setelah itu, Yesus bersama ibu-Nya, saudara-saudara-Nya dan murid-murid-Nya pergi ke Kapernaum lalu tinggal di situ beberapa hari.
13 Ketika Perayaan Paskah orang Yahudi hampir tiba, Yesus pergi ke Yerusalem.
14 Di dalam Bait Suci Dia mendapati orang berjual beli lembu, domba dan burung merpati, serta pengurup-pengurup wang duduk di situ.
15 Yesus membuat cemeti daripada tali lalu mengusir kesemua orang, domba dan lembu dari Bait Suci. Dia juga menghamburkan wang pengurup wang itu dan menterbalikkan meja mereka.
16 Dia berkata kepada penjual burung merpati, “Bawa keluar semuanya. Jangan jadikan Rumah Bapa-Ku tempat berniaga!”
17 Para murid-Nya teringat bahawa telah tersurat: “Kasih-Ku terhadap Rumah-Mu membakar hati-Ku!”
18 Orang Yahudi menyoal Yesus, “Apakah mukjizat yang dapat Kamu lakukan sebagai bukti bahawa Kamu berhak bertindak begini?”
19 Yesus menjawab, “Robohkanlah Bait Suci ini, akan Kubina semula dalam tiga hari.”
20 “Pembinaan Bait Suci ini mengambil masa empat puluh enam tahun! Akan Kaubina semula dalam tiga hari?” tanya orang Yahudi kepada-Nya.
21 Sebenarnya, Bait Suci yang dimaksudkan oleh Yesus itu ialah tubuh-Nya sendiri.
22 Apabila Yesus bangkit daripada kematian, murid-murid-Nya teringat kata-kata-Nya itu. Dengan demikian percayalah mereka akan Kitab Suci dan kata-kata Yesus.
23 Sewaktu Yesus di Yerusalem pada masa Perayaan Paskah, ramai orang yang percaya kepada nama-Nya disebabkan mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya.
24 Namun demikian, Yesus tidaklah mempercayakan diri-Nya kepada mereka, kerana Dia mengetahui isi hati manusia.
25 Dia tidak memerlukan kesaksian sesiapa tentang manusia kerana Dia mengetahui niat dan perasaan setiap orang.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yohanes 2
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yohanes 2
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Yohanes

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV