1 Lalu Ayub menjawab,
2 “Ah, andainya kepiluanku ditimbang dan kesusahanku diletakkan pula pada neraca,
3 pastilah beratnya melebihi pasir di laut. Lantas kata-kataku telah terlanjur.
4 Anak-anak panah Yang Maha Kuasa menembusi tubuhku, jiwaku meminum racunnya. Kengerian daripada Allah berbaris melawan aku.
5 Adakah keldai liar meringkik apabila berdekatan rumput muda? Adakah lembu melenguh berdekatan makanannya?
6 Bolehkah makanan yang hambar dimakan tanpa garam? Atau adakah rasa pada putih telur?
7 Aku tidak mahu menjamahnya, bagiku semua itu seperti makanan yang memualkan.
8 Kalaulah terkabul permintaanku, dan Allah mengurniakan apa yang kuharapkan!
9 Kiranya Allah berkenan menghancurkan aku, kiranya Dia membiarkan tangan-Nya membunuh aku.
10 Itulah yang akan menjadi kelegaan bagiku – malah aku akan melompat gembira dalam kesakitan yang tidak kenal belas kasihan – bahawa aku tidak pernah menyangkal firman daripada Yang Maha Suci.
11 Apakah dayaku sehingga aku harus berharap? Bagaimana akhir hidupku sehingga aku harus bersabar?
12 Adakah kekuatanku seperti kekuatan batu? Adakah tubuhku ini gangsa?
13 Bukankah tidak ada pertolongan bagiku, dan pelepasan sudah terhalau daripadaku?
14 Orang yang putus asa sepatutnya dikasihani oleh sahabatnya, sekalipun orang itu mengabaikan ketakwaan kepada Yang Maha Kuasa.
15 Saudara-saudaraku khianat seperti sungai, seperti alur-alur sungai yang mengalir lalu lenyap,
16 yang keruh kerana ais, yang di dalamnya tercair salji.
17 Pada musim kemarau mereka lenyap, ketika kena panas mereka hilang dari tempat mereka.
18 Kafilah-kafilah yang mengikuti jalannya menyimpang, mereka naik ke tanah tandus lalu binasa.
19 Kafilah-kafilah Tema mencari-cari air, rombongan-rombongan Syeba mengharapkannya,
20 tetapi mereka kecewa kerana mereka sudah yakin pada mulanya. Sesampainya di sana mereka menjadi keliru.
21 Sekarang, kamu ini pun tidak ada gunanya, kamu melihat hal yang mengerikan lalu takut.
22 Pernahkah aku berkata, ‘Berilah aku sesuatu,’ atau, ‘Berikan wang sogokan daripada kekayaanmu untukku,’
23 atau, ‘Lepaskanlah aku daripada tangan lawan,’ atau, ‘Tebuslah aku daripada tangan orang kejam’?
24 Ajarlah aku, maka aku akan berdiam diri, beritahu aku dalam hal apa aku bersalah.
25 Betapa menyakitkan kata-kata yang jujur! Tetapi apakah yang ternyata hasil teguranmu itu?
26 Adakah kamu bermaksud menegur kata-kata dan menganggap penuturan orang yang putus asa seperti angin?
27 Bahkan kamu mencabut undi atas anak yatim dan memperdagangkan sahabatmu.
28 Sekarang, sudilah memandang aku, aku tidak akan berdusta di hadapanmu.
29 Kumohon berpalinglah, janganlah kezaliman terjadi. Berpalinglah, aku pasti tidak bersalah.
30 Apakah ada kezaliman pada lidahku? Takkan langit-langit mulutku tidak dapat mencerap bencana?”