1 Maka Elifas, orang Teman, menjawab,
2 “Patutkah orang bijak berdegar-degar menjawab dengan pengetahuan hampa, dan memenuhi perutnya dengan angin timur?
3 Patutkah dia menegur dengan kata-kata yang tidak berguna, dan dengan penuturan yang tidak berfaedah?
4 Engkau ini meniadakan ketakwaan, dan menghalang orang beribadat kepada Allah.
5 Kesalahanmu mengajari mulutmu, dan engkau memilih lidah orang licik.
6 Mulutmu sendiri yang mempersalah engkau, bukan aku. Bibirmu sendiri yang bersaksi menentang engkau.
7 Adakah engkau insan yang pertama dilahirkan, atau yang lebih dahulu dijadikan daripada bukit-bukit?
8 Adakah engkau turut mendengar dalam majlis perundingan Allah? Adakah engkau membatasi hikmah hanya bagi dirimu?
9 Apa yang kauketahui, yang tidak kami ketahui? Apa yang kaufaham, yang tidak jelas bagi kami?
10 Orang yang beruban dan juga orang yang sudah tua ada di antara kami, bahkan kalangan yang lebih tua umurnya daripada ayahmu.
11 Adakah penghiburan Allah terlalu kecil bagimu, firman yang ditujukan dengan lemah lembut kepadamu?
12 Mengapa engkau terbawa perasaan hatimu dan mengapa matamu berkilat-kilat,
13 sehingga engkau memalingkan hatimu menentang Allah dan mengeluarkan kata-kata semacam itu daripada mulutmu?
14 Apakah manusia itu sehingga dia tidak bercela, atau yang dilahirkan perempuan itu sehingga dia tidak bersalah?
15 Sesungguhnya, para malaikat suci-Nya pun tidak dipercayai-Nya dan segala langit pun tidak bersih pada pandangan-Nya;
16 lebih-lebih lagi orang yang keji dan buruk, yang meminum kezaliman seperti air.
17 Aku hendak menyatakan sesuatu kepadamu, dengarlah aku. Hal yang telah kulihat ini akan kuceritakan,
18 iaitu hal yang diberitahukan oleh kalangan yang bijak dan yang tidak disembunyikan oleh nenek moyang mereka –
19 kepada mereka sajalah negeri itu telah dikurniakan, tidak ada orang asing yang berjalan di tengah-tengah mereka.
20 Orang fasiq menggeliat sakit seumur hidupnya, demikian juga orang kejam selama tahun-tahun yang disediakan baginya.
21 Bunyi yang dahsyat masuk ke telinganya, pada masa damai pun dia didatangi perompak.
22 Dia tidak percaya bahawa dia akan kembali dari kegelapan, pedang sudah menantinya.
23 Dia mengembara mencari makanan, katanya, ‘Di manakah makanan?’ Dia tahu bahawa hari kegelapan sudah dekat.
24 Kesesakan dan kesusahan mengejutkan dia. Semuanya menang atasnya seperti raja yang siap untuk berperang,
25 kerana dia telah menghulurkan tangannya menentang Allah dan memberanikan diri menentang Yang Maha Kuasa.
26 Dia berlari-lari menghadapi-Nya dengan menegangkan tengkuk, dengan perisainya yang tebal dan cembung.
27 Dia menyelubungi mukanya dengan lemak, dan menimbunkan lemak di pinggangnya.
28 Dia tinggal di kota-kota yang hancur, di dalam rumah-rumah yang tidak dihuni, yang ditentukan untuk menjadi timbunan puing.
29 Dia tidak akan menjadi kaya dan hartanya tidak akan bertahan, miliknya tidak akan tahan lama di bumi.
30 Dia tidak akan keluar dari dalam kegelapan. Nyala api akan melayukan cabang-cabangnya, dan dia akan disingkirkan oleh nafas mulut-Nya.
31 Janganlah dia percaya kepada kesia-siaan dan menyesatkan dirinya, kerana kesia-siaan juga yang akan menjadi balasannya.
32 Hal itu akan berlaku sebelum ajalnya, pelepahnya tidak akan menghijau.
33 Dia akan meluruhkan buahnya yang belum masak seperti pokok anggur, dan mencampakkan bunganya seperti pokok zaitun.
34 Orang munafik akan mandul, api akan melahap khemah-khemah orang yang makan suap.
35 Mereka mengandung bencana dan melahirkan kejahatan, rahim mereka menghamilkan tipu daya.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ayub 15
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ayub 15

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV