1 Ada seorang lelaki yang bernama Ayub di Tanah Us. Dia tidak bercela, juga tulus dan takut kepada Allah serta menjauhi kejahatan.
2 Dia dikurniai tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan.
3 Miliknya termasuk 7,000 ekor domba, 3,000 ekor unta, 500 pasang lembu, 500 ekor keldai betina, dan ramai hamba. Oleh itu, dia menjadi orang terkaya antara semua orang di timur.
4 Anaknya selalu bergilir-gilir mengadakan jamuan di rumah masing-masing, dan mereka akan menyuruh orang untuk menjemput ketiga-tiga saudara perempuan mereka untuk makan dan minum bersama-sama.
5 Setelah berlalunya hari-hari jamuan itu, Ayub akan memanggil dan menyucikan mereka. Dia akan bangun pagi-pagi dan mempersembahkan korban bakaran menurut jumlah mereka semua, kerana fikir Ayub, “Jangan-jangan anak-anakku telah berdosa dan mengutuk Allah dalam hati mereka.” Demikianlah yang sentiasa dilakukan oleh Ayub.
6 Pada suatu hari datanglah anak-anak Allah menghadap TUHAN, dan Iblis turut sama dalam kalangan itu.
7 Berfirmanlah TUHAN kepada Iblis, “Dari mana engkau datang?” Jawab Iblis kepada TUHAN, “Dari berjalan ke sana ke mari di bumi dan menjelajahinya.”
8 Firman TUHAN kepada Iblis, “Sudahkah kauperhatikan hamba-Ku Ayub? Sesungguhnya, tidak ada orang yang seperti dia di bumi. Dia tidak bercela, tulus, dan takut kepada Allah serta menjauhi kejahatan.”
9 Jawab Iblis kepada TUHAN, “Adakah Ayub takut kepada Allah dengan begitu sahaja?
10 Bukankah Engkau menegakkan pagar di sekelilingnya dan seisi rumahnya serta segala hartanya? Engkau memberkati pekerjaan tangannya, dan ternakannya semakin bertambah di negeri itu.
11 Tetapi cuba hulurkan tangan-Mu dan sentuhlah segala miliknya, pasti dia akan mengutuk Engkau di hadapan-Mu.”
12 Maka firman TUHAN kepada Iblis, “Nah, segala sesuatu miliknya ada dalam kuasamu. Hanya, jangan kausentuh dirinya.” Kemudian pergilah Iblis dari hadirat TUHAN.
13 Pada suatu hari, ketika para anak Ayub baik lelaki mahupun perempuan sedang makan dan minum air anggur di rumah abang sulung mereka,
14 datanglah seorang pesuruh kepada Ayub dan berkata, “Ketika lembu-lembu sedang membajak dan keldai-keldai betina merumput berhampiran,
15 orang Syeba datang menyerbu dan merampas semuanya. Mereka membunuh para penjaga dengan mata pedang. Hanya hamba seorang sahaja yang terselamat sehingga dapat menyampaikan hal ini kepada tuan.”
16 Ketika orang itu berbicara, datanglah seorang yang lain lagi dan berkata, “Api Allah menyambar dari langit, membakar kawanan domba dan para penjaganya serta menghanguskan mereka. Hanya hamba sendirilah yang terselamat sehingga dapat menyampaikan hal ini kepada tuan.”
17 Ketika orang itu bercakap, datanglah seorang yang lain lagi dan berkata, “Orang Kasdim membentuk tiga buah pasukan dan menyerbu kawanan unta. Mereka merampas semuanya dan membunuh para penjaganya dengan mata pedang. Hamba seorang sahaja yang terselamat sehingga dapat menyampaikan hal ini kepada tuan.”
18 Ketika orang itu bercakap, datanglah seorang yang lain lagi dan berkata, “Anak-anak tuan, baik lelaki mahupun perempuan, sedang makan-makan dan minum air anggur di rumah abang sulung mereka.
19 Tiba-tiba datanglah angin yang besar lagi kencang dari seberang gurun tandus menghentam keempat-empat penjuru rumah itu, lalu rumah itu pun roboh menimpa para anak muda itu sehingga mati mereka semua. Hanya hamba sendirilah yang terselamat sehingga dapat menyampaikan hal ini kepada tuan.”
20 Maka berdirilah Ayub. Dia segera mengoyakkan jubahnya, dan mencukur rambut kepalanya lalu bersujud di tanah dan menyembah,
21 katanya, “Dengan telanjang aku keluar daripada kandungan ibuku, dan dengan telanjang juga aku akan pergi. TUHAN yang memberikan; TUHAN yang mengambil, segala puji bagi nama TUHAN!”
22 Dalam semua hal ini Ayub tidak berdosa atau menuduh Allah berbuat salah.