1 Maka seluruh orang Israel bersumpah di Mizpa, demikian, “Tiada seorang pun daripada kita yang akan memberikan anak perempuannya untuk menjadi isteri kepada warga bani Benyamin.”
2 Datanglah umat Israel ke Betel lalu duduk di hadapan Allah sampai petang, lalu mereka menyaringkan suara dan menangis dengan sepenuh perasaan mereka.
3 Mereka berkata, “Mengapa, ya TUHAN, Allah Israel, terjadi hal yang begini di antara orang Israel, yakni bahawa hari ini hilang satu suku daripada orang Israel?”
4 Keesokan harinya bangunlah seluruh umat pagi-pagi lagi lalu mendirikan mazbah di situ dan seterusnya mempersembahkan korban bakaran dan korban kedamaian.
5 Pada waktu itu berkatalah warga orang Israel, “Siapakah daripada seluruh suku Israel yang tidak ikut datang dengan jemaah ini untuk menghadap TUHAN?” Sebabnya mereka telah bersumpah dengan sungguh-sungguh mengenai orang yang tidak datang menghadap TUHAN di Mizpa, demikian, “Pastilah dia dihukum mati.”
6 Maka orang Israel berasa belas kasihan terhadap suku Benyamin, saudara mereka itu, maka kata mereka, “Hari ini satu suku terputus daripada orang Israel.
7 Apakah yang dapat kita lakukan kepada kalangan yang tertinggal itu dalam hal mencari isteri kerana kita bersumpah demi TUHAN bahawa kita tidak akan memberikan seorang pun anak perempuan kita kepada mereka untuk dijadikan isteri mereka?”
8 Lalu bertanyalah mereka, “Dari seluruh suku Israel adakah satu suku yang tidak datang menghadap TUHAN di Mizpa?” Lalu disahkanlah bahawa tiada seorang pun yang datang dari Yabesh-Gilead ke perkhemahan jemaah itu.
9 Lalu setelah dihitung memang sah bahawa tiada seorang pun daripada penduduk Yabesh-Gilead yang hadir.
10 Maka perkumpulan itu mengerah dua belas ribu perwira yang gagah perkasa untuk pergi ke situ lalu kepada mereka dikeluarkan perintah, “Pergilah, pukullah penduduk Yabesh-Gilead, termasuk kaum wanita dan anak-anak, dengan mata pedang.
11 Dan lakukanlah begini: kamu tumpaskan semua lelaki sahaja dan semua perempuan yang pernah tidur dengan lelaki.”
12 Mereka menemukan empat ratus orang anak gadis, perawan yang belum pernah tidur dengan orang lelaki antara penduduk Yabesh-Gilead, lalu kesemua gadis itu dibawa mereka ke perkhemahan di Silo, di Tanah Kanaan.
13 Sesudah itu seluruh umat itu mengirim utusan untuk berbicara dengan bani Benyamin yang berada di bukit batu Rimon dan memaklumkan kedamaian kepada mereka.
14 Pada waktu itu kembalilah suku Benyamin, dan kepada mereka diberikan perempuan-perempuan Yabesh-Gilead yang telah dibiarkan hidup. Akan tetapi, jumlah perempuan itu belum cukup bagi mereka.
15 Bangsa itu berasa kasihan kepada suku Benyamin, kerana TUHAN membuat keretakan antara suku Israel.
16 Kemudian berkatalah umat tua-tua mereka, “Apakah yang dapat kita lakukan kepada yang tinggal ini dalam hal mencari isteri untuk mereka? Sebabnya kaum perempuan telah punah daripada kalangan suku Benyamin.”
17 Kata mereka lagi, “Harta pusaka semua orang yang terkorban itu patut tetap bersama-sama suku Benyamin, supaya jangan ada suku yang terhapus daripada orang Israel.
18 Tetapi kita ini tidak dapat memberikan isteri kepada mereka daripada kalangan anak perempuan kita.” Sebabnya orang Israel telah bersumpah, demikian, “Terkutuklah orang yang memberikan isteri kepada suku Benyamin!”
19 Kemudian mereka berkata, “Setiap tahun ada perayaan bagi TUHAN di Silo yang terletak di sebelah utara Betel, di sebelah timur jalan raya yang menuju dari Betel ke Sikhem dan di sebelah selatan Lebona.”
20 Maka mereka berpesan kepada bani Benyamin, demikian, “Pergilah untuk menyerang hendap di kebun-kebun anggur.
21 Perhatikanlah baik-baik; jika anak-anak perempuan Silo muncul untuk menari, keluarlah kamu dari kebun-kebun anggur itu, dan hendaklah masing-masing menangkap seorang daripada anak-anak perempuan Silo itu untuk dijadikan isteri dan pergi ke Tanah Benyamin.
22 Apabila ayah atau saudara lelaki mereka datang untuk menuntut mereka daripada kami, kami akan berkata kepada mereka: Kasihanilah mereka demi kami, kerana kita tidak menawan isteri-isteri bagi mereka dalam peperangan. Namun, kamu tidak bersalah kerana kamu tidak memberikan anak-anak perempuan itu kepada mereka.”
23 Oleh itu, bani Benyamin berbuat demikian. Gadis-gadis yang menari itu dirampas mereka untuk dijadikan isteri. Jumlahnya sama dengan jumlah mereka. Kemudian mereka pulang ke harta pusaka mereka lalu membina kota-kota mereka kembali dan mendiami kota-kota itu.
24 Pada waktu itu pulanglah orang Israel dari sana kepada suku dan kaum mereka, ke harta pusaka masing-masing.
25 Pada zaman itu tiada raja yang memerintah orang Israel. Setiap orang melakukan apa yang dianggap benar menurut pandangan sendiri.