1 Maka pergilah Malaikat TUHAN dari Gilgal ke Bokhim lalu berkata, “Telah Kubawa kamu keluar dari Mesir dan memimpin kamu ke bumi yang Kujanjikan sebagaimana ikrar-Ku kepada nenek moyangmu, dan Aku telah berkata bahawa Aku tidak sekali-kali akan membatalkan perjanjian-Ku dengan kamu,
2 tetapi kamu janganlah mengikat perjanjian dengan mereka yang mendiami bumi ini. Hendaklah kamu robohkan mazbah mereka. Tetapi kamu ingkar. Mengapakah kamu berbuat begini?
3 Maka Aku juga berkata bahawa Aku tidak akan mengusir semua orang itu dari depanmu, tetapi mereka akan menjadi seperti duri dalam daging dan tuhan-tuhan mereka akan menjadi jerat bagimu.”
4 Setelah mendengar kata-kata Malaikat TUHAN itu, orang Israel meninggikan suara mereka dan menangis.
5 Maka tempat itu dinamai Bokhim dan di situlah mereka mempersembahkan korban kepada TUHAN.
6 Setelah Yosua menyuraikan khalayak di situ, maka pergilah orang Israel itu untuk menduduki tanah pusaka yang menjadi milik masing-masing.
7 Umat itu beribadat menyembah TUHAN sepanjang zaman Yosua dan sepanjang usia para tua-tua mereka yang masih ada selepas kematian Yosua, yakni mereka yang pernah melihat sendiri segala keajaiban yang dilakukan TUHAN demi orang Israel.
8 Maka hamba TUHAN, Yosua anak Nun itu, mati pada umur seratus sepuluh tahun.
9 Dia dikuburkan di daerah yang menjadi harta pusakanya di Timnat-Heres, di pergunungan Efraim, di sebelah utara Gunung Gaas.
10 Setelah seluruh umat seangkatan itu dikumpulkan bersama-sama kaum leluhur mereka, muncullah keturunan yang tidak mengenal TUHAN dan segala perbuatan-Nya demi orang Israel.
11 Kemudian orang Israel melakukan kemungkaran di mata TUHAN dan menyembah Baal yang disembah oleh bangsa-bangsa di sekeliling mereka.
12 Mereka meninggalkan TUHAN, Allah nenek moyang mereka yang telah membawa mereka keluar dari Tanah Mesir, lalu menyembah tuhan-tuhan yang disembah umat lain. Dengan itu mereka membangkitkan murka TUHAN.
13 Demikianlah mereka membelakangi TUHAN lalu menyembah Baal dan Asytoret.
14 Maka bangkit serta maraklah kemurkaan TUHAN terhadap orang Israel lalu Dia membiarkan mereka dianiayai para penjarah. Seterusnya Dia menjual mereka kepada para musuh sehingga mereka tidak sanggup lagi bertahan menghadapi musuh mereka itu.
15 Tangan TUHAN menentang mereka setiap kali mereka mara bertempur, dan mendatangkan malapetaka kepada mereka, selaras dengan peringatan-Nya dan ikrar yang dijanjikan-Nya kepada mereka. Oleh itu, mereka amat terdesak oleh kesukaran yang dialami mereka.
16 Maka TUHAN membangkitkan hakim-hakim, yang menyelamatkan mereka daripada penganiayaan para penjarah itu.
17 Namun begitu, mereka tidak mengendahkan para hakim dan melacurkan diri kepada tuhan-tuhan lain serta menyembahkan tuhan-tuhan itu. Begitu cepat mereka menyimpang daripada jalan yang diikuti nenek moyang mereka yang taat akan segala perintah TUHAN.
18 Setiap kali apabila TUHAN membangkitkan seorang hakim untuk mereka, TUHAN menyertai hakim itu dan menyelamatkan mereka daripada tangan musuh mereka sepanjang hayat hakim itu. Ini atas sebab TUHAN berbelas kasihan mendengar rintihan mereka yang teraniaya dan tertindas.
19 Tetapi apabila hakim itu mati, mereka berbuat jahat semula, malah jauh lebih jahat berbanding dengan nenek moyang mereka. Tidak serik mereka terus menyembah tuhan-tuhan lain itu dan tidak meninggalkan kedegilan mengingkari perintah Allah.
20 Maka ternyala dan maraklah api kemurkaan TUHAN terhadap orang Israel lalu Dia berfirman, “Kerana bangsa ini melanggar perjanjian yang Kuperintahkan kepada nenek moyang mereka, dan tidak mendengar firman-Ku,
21 Aku tidak lagi akan mengusir apa-apa pun bangsa yang masih ada di negeri ini ketika Yosua meninggal.
22 Dengan itu, bangsa-bangsa itu dapat menguji sama ada orang Israel mengikut jalan TUHAN sebagaimana yang dilakukan nenek moyang mereka ataupun tidak.”
23 Demikianlah TUHAN membiarkan bangsa-bangsa itu tinggal di situ dengan tidak segera menghalau mereka; malah Dia tidak menyerahkan mereka ke dalam tangan Yosua.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Hakim-hakim 2
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Hakim-hakim 2

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV