1 TUHAN berfirman kepada Musa, “Pergilah menghadap Firaun dan katakanlah kepadanya, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah orang Ibrani, “Izinkanlah umat-Ku pergi, supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku.
2 Sebabnya jika engkau tidak mengizinkan mereka pergi dan masih menahan mereka,
3 maka tangan TUHAN akan mendatangkan penyakit sampar yang sangat teruk kepada ternakan kamu di padang, iaitu kuda, keldai, unta, lembu, serta domba.
4 Tetapi TUHAN akan membezakan ternakan orang Israel daripada ternakan warga Mesir. Tidak seekor pun daripada ternakan orang Israel akan mati.” ’ ”
5 Kemudian TUHAN menetapkan waktunya, firman-Nya, “Hari esok TUHAN akan melaksanakan hal itu di negeri ini.”
6 Keesokan harinya, TUHAN pun melaksanakan hal itu. Semua ternakan warga Mesir mati, tetapi tidak ada seekor pun ternakan orang Israel mati.
7 Lalu Firaun menyuruh orang memeriksa hal itu, dan benarlah, tidak seekor pun ternakan orang Israel mati. Namun demikian, hati Firaun tetap keras. Dia masih tidak mengizinkan orang Israel pergi.
8 TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Ambillah segenggam penuh jelaga dari relau, lalu hendaklah Musa menghamburkannya ke udara di hadapan Firaun.
9 Jelaga itu akan menjadi debu halus yang meliputi seluruh Tanah Mesir serta menjadi bisul yang pecah bernanah pada manusia dan haiwan di seluruh Tanah Mesir.”
10 Maka mereka mengambil jelaga dari relau lalu berdiri di hadapan Firaun. Musa menghamburkan jelaga itu ke udara, lalu berjangkitlah penyakit bisul yang pecah bernanah pada manusia serta haiwan.
11 Para ahli ilmu sihir tidak dapat berdiri lagi di hadapan Musa akibat bisul-bisul itu, kerana bisul itu juga menjangkiti para ahli ilmu sihir, seperti semua warga Mesir yang lain.
12 Tetapi TUHAN mengeraskan hati Firaun sehingga dia tidak mahu mendengar kata kedua-duanya, sebagaimana yang telah TUHAN firmankan kepada Musa.
13 TUHAN berfirman kepada Musa, “Bangunlah pagi-pagi, dan berdirilah di hadapan Firaun dan katakanlah kepadanya, ‘Beginilah firman TUHAN, Allah orang Ibrani, “Izinkanlah umat-Ku pergi supaya mereka dapat beribadat kepada-Ku,
14 kerana kali ini Aku akan melepaskan segala azab-Ku atas dirimu, atas para pegawaimu, serta atas rakyatmu, supaya engkau tahu bahawa tidak ada yang seperti Aku di seluruh bumi.
15 Sekarang pun Aku boleh sahaja menghulurkan tangan-Ku untuk mengazab engkau dan rakyatmu dengan wabak penyakit sehingga engkau lenyap dari bumi.
16 Akan tetapi, untuk tujuan ini Aku membiarkan engkau hidup, iaitu supaya Aku dapat memperlihatkan kepadamu kuasa-Ku, dan supaya nama-Ku termasyhur di seluruh bumi.
17 Meskipun demikian, engkau masih sahaja meninggikan diri terhadap umat-Ku dan tidak mengizinkan mereka pergi.
18 Sesungguhnya esok, pada waktu seperti ini, Aku akan menurunkan hujan batu yang sangat kuat, yang belum pernah terjadi di Mesir sejak Mesir diwujudkan sampai sekarang ini.
19 Sekarang, suruhlah orang mengandangkan ternakan kamu dan segala sesuatu yang kaumiliki di padang. Semua orang dan haiwan yang ada di padang dan tidak dibawa masuk ke rumah akan mati ditimpa oleh hujan batu itu.” ’ ”
20 Maka beberapa orang daripada pegawai Firaun yang takut kepada firman TUHAN melarikan para hamba serta ternakan masing-masing ke rumah.
21 Tetapi orang yang tidak mengendahkan firman TUHAN meninggalkan para hamba serta ternakan mereka di padang.
22 Firman TUHAN kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke langit supaya hujan batu turun di seluruh Tanah Mesir dan melanda manusia, haiwan, serta segala tumbuhan di padang, di Tanah Mesir.”
23 Musa pun menghulurkan tongkatnya ke langit, lalu TUHAN mendatangkan guruh dan hujan batu, serta menurunkan api pula ke bumi. TUHAN menghujani Tanah Mesir dengan hujan batu.
24 Hujan batu turun dan api sambar-menyambar di tengah-tengah hujan batu itu dengan sangat hebatnya. Belum pernah terjadi hal sebegitu di seluruh Tanah Mesir sejak Mesir menjadi sebuah negara.
25 Hujan batu itu membinasakan segala sesuatu yang ada di padang di seluruh Tanah Mesir, baik manusia mahupun haiwan. Maka rosaklah dan binasalah segala tumbuhan serta pokok akibat hujan batu itu.
26 Hanya di Tanah Gosyen, iaitu tempat tinggal orang Israel, hujan batu tidak turun.
27 Maka Firaun menyuruh agar Musa dan Harun dipanggil. Lalu katanya kepada mereka, “Kali ini aku telah berdosa. TUHAN itulah yang benar, sedangkan aku dan rakyatku bersalah.
28 Berdoalah kepada TUHAN. Cukuplah sudah guruh yang luar biasa dan hujan batu ini. Aku akan mengizinkan kamu pergi. Tidak usah lagi kamu tinggal di sini.”
29 Kata Musa kepadanya, “Apabila aku sudah keluar dari kota ini, aku akan menadahkan tanganku kepada TUHAN. Guruh akan berhenti dan hujan batu tidak akan turun lagi, supaya engkau tahu bahawa bumi ini milik TUHAN.
30 Akan tetapi, aku tahu bahawa sesungguhnya engkau dan para pegawaimu belum juga takut kepada TUHAN Allah.”
31 Pada masa itu musnah segala tumbuhan rami dan barli, kerana barli sedang berbulir dan rami sedang berbunga.
32 Tetapi gandum dan sekoi yang belum tumbuh itu tidak musnah.
33 Musa keluar dari kota itu meninggalkan Firaun, lalu dia menadahkan tangannya kepada TUHAN. Maka berhentilah guruh dan hujan batu, dan hujan tidak lagi mencurah-curah ke atas bumi.
34 Namun begitu, apabila Firaun melihat bahawa hujan, hujan batu, dan guruh sudah berhenti, dia kembali berbuat dosa dan mengeraskan hatinya. Begitu jugalah para pegawainya.
35 Hati Firaun tetap keras dan dia tidak mengizinkan orang Israel pergi, sebagaimana yang telah difirmankan oleh TUHAN dengan perantaraan Musa.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Keluaran 9
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Keluaran 9

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV