1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Lihat, Aku telah memanggil Bezaleel anak Uri anak Hur daripada bani Yehuda.
3 Aku memenuhi dia dengan Roh Allah, dengan kebijaksanaan, pengertian, pengetahuan, dan segala jenis kemahiran bertukang
4 untuk merancang hasil kerja mahir daripada emas, perak, dan gangsa,
5 dan juga untuk mengukir batu permata untuk tatahan, mengukir kayu, serta mengerjakan segala jenis keahlian dalam pelbagai bidang kerja.
6 Tambahan pula Aku juga menetapkan orang, iaitu Aholiab anak Ahisamakh daripada bani Dan, untuk menyertainya. Dalam hati semua yang berkemahiran, Aku telah mengurniakan kebijaksanaan supaya mereka membuat semua yang telah Kuperintahkan kepadamu:
7 Khemah Pertemuan, tabut loh hukum dan penutup pendamaian di atasnya dan segala kelengkapan khemah itu,
8 iaitu meja dengan segala wadahnya, kaki pelita murni dengan segala wadahnya, dan mazbah pendupaan,
9 mazbah korban bakaran dengan segala wadahnya, bejana pembasuhan dengan kekakinya,
10 pakaian yang halus tenunannya, pakaian suci untuk imam Harun dan pakaian anak-anaknya untuk menunaikan tugas keimaman,
11 minyak tahbis, serta dupa daripada rempah-ratus yang harum untuk Tempat Suci itu. Hendaklah dilakukan mereka sebagaimana segala yang telah Kuperintahkan kepadamu.”
12 TUHAN berfirman kepada Musa,
13 “Katakanlah kepada orang Israel, ‘Sesungguhnya, hendaklah kamu pelihara hari-hari Sabat-Ku, kerana itulah tanda peringatan antara Aku dengan kamu turun-temurun, supaya kamu tahu bahawa Akulah TUHAN yang menyucikan kamu.
14 Maka, peliharalah hari Sabat kerana hari itu hari yang suci bagimu. Sesiapa yang mencemarinya pastilah dihukum mati, kerana sesiapa pun yang melakukan pekerjaan pada hari itu, nyawanya harus dilenyapkan daripada kalangan bangsanya.
15 Hendaklah pekerjaan dilakukan selama enam hari, tetapi hari ketujuh ialah hari Sabat, hari istirahat penuh yang suci bagi TUHAN. Maka sesiapa pun yang melakukan pekerjaan pada hari Sabat pasti dihukum mati.
16 Oleh sebab itu orang Israel hendaklah memelihara hari Sabat dengan merayakannya turun-temurun sebagai suatu perjanjian yang berkekalan.
17 Itulah tanda peringatan antara Aku dengan orang Israel untuk selama-lamanya, kerana enam hari lamanya TUHAN menjadikan langit dan bumi, dan pada hari ketujuh Dia berhenti daripada kerja penciptaan itu lantas berasa puas.”
18 Setelah TUHAN selesai berfirman kepada Musa di Gunung Sinai, Dia menyerahkan kepada Musa kedua-dua loh hukum Allah, iaitu loh batu yang ditulis oleh TUHAN sendiri.