1 Kemudian seluruh jemaah Israel berangkat dari Gurun Sin lalu tahap demi tahap mereka meneruskan perjalanan mereka sebagaimana yang difirmankan oleh TUHAN. Mereka berkhemah di Rafidim, tetapi di sana tidak ada air untuk diminum oleh umat itu.
2 Lalu berbantahlah bangsa itu dengan Musa, kata mereka, “Berilah kami air supaya kami dapat minum.” Kata Musa kepada mereka, “Mengapakah kamu berbantah dengan aku? Mengapakah kamu mencubai TUHAN?”
3 Tetapi umat itu kehausan di sana dan ingin minum. Maka mereka merungut-rungut kepada Musa dan berkata, “Mengapakah engkau memimpin kami keluar dari Mesir? Hanya untuk membunuh kami, anak-anak kami, dan ternakan kami dengan kehausan?”
4 Maka berserulah Musa kepada TUHAN, katanya, “Apakah yang harus kulakukan terhadap umat ini? Mereka sudah hampir-hampir mahu merejam aku.”
5 Firman TUHAN kepada Musa, “Berjalanlah di depan umat itu dan bawalah beberapa orang tua-tua Israel. Bawalah di tanganmu tongkatmu yang kamu gunakan untuk memukul Sungai Nil dahulu, dan pergilah.
6 Aku akan hadir di hadapanmu di atas batu pejal di Horeb. Pukullah batu pejal itu, maka air akan keluar dari dalamnya sehingga bangsa itu dapat minum.” Lalu Musa melaksanakan hal itu di hadapan mata para tua-tua Israel.
7 Dinamainya tempat itu Masa dan Meriba, kerana di sana orang Israel berbantah-bantah dan mencubai TUHAN dengan berkata, “Hadirkah TUHAN dalam kalangan kita atau tidak?”
8 Kemudian datanglah orang Amalek dan berperang melawan orang Israel di Rafidim.
9 Kata Musa kepada Yosua, “Pilihlah bagi kita beberapa orang, lalu keluarlah berperang melawan orang Amalek. Esok aku akan berdiri di atas puncak bukit itu dengan tongkat Allah di tanganku.”
10 Yosua pun melaksanakan apa yang dikatakan Musa kepadanya dan memerangi orang Amalek. Sementara itu Musa, Harun, dan Hur naik ke puncak bukit.
11 Lalu inilah yang terjadi: apabila Musa mengangkat tangannya, orang Israel menang, namun apabila dia menurunkan tangannya, orang Amalek menang.
12 Akan tetapi, lama-kelamaan tangan Musa menjadi letih. Oleh sebab itu, mereka mengambil sebuah batu dan meletakkannya berdekatan dengan Musa supaya dia dapat duduk di atasnya. Kemudian Harun dan Hur menopang tangan Musa, seorang di sisi yang satu dan seorang lagi di sisi yang satu lagi, sehingga tangannya tetap terangkat sampai terbenamnya matahari.
13 Maka Yosua melumpuhkan Amalek dan pasukannya dengan mata pedang.
14 TUHAN berfirman kepada Musa, “Tulislah hal ini dalam kitab sebagai peringatan, dan sampaikan kepada Yosua bahawa Aku akan menghapuskan segala kenangan tentang orang Amalek dari bawah kolong langit.”
15 Maka Musa membina sebuah mazbah, iaitu tempat pembakaran korban, dan menamainya “TUHAN itu panjiku”,
16 kerana katanya, “Tangan terangkat ke arah takhta TUHAN, dan TUHAN berperang melawan Amalek turun-temurun.”