1 Hai anakku, jangan lupakan ajaranku, tetapi hendaklah hatimu memegang perintah-perintahku,
2 kerana segalanya akan memberikan kepadamu umur panjang, usia lanjut, dan kesejahteraan.
3 Jangan biarkan kasih setia dan kebenaran meninggalkan kamu, kalungkannya di lehermu dan pahatkannya di loh hatimu.
4 Dengan demikian engkau akan disukai serta memperoleh nama baik di mata Allah dan manusia.
5 Percayalah kepada TUHAN dengan sepenuh hatimu dan janganlah bersandar kepada pengertianmu sendiri.
6 Ingatlah Dia dalam segala jalanmu, maka Dia akan meluruskan jalanmu.
7 Jangan anggap dirimu bijak, takutlah kepada TUHAN dan jauhilah kejahatan.
8 Itulah yang kelak mendatangkan kesihatan bagi tubuhmu dan kekuatan bagi tulang-tulangmu.
9 Muliakanlah TUHAN dengan hartamu dan dengan hasil pertama daripada segala penghasilanmu,
10 maka segala bangsal hasil tuaianmu akan terisi hingga melimpah-ruah dan meluaplah air anggur di dalam segala tempat pemerasan anggurmu.
11 Hai anakku, jangan pandang sepi pengajaran TUHAN, dan janganlah berasa geram terhadap teguran-Nya,
12 kerana TUHAN menegur orang yang dikasihi-Nya, seperti seorang bapa terhadap anak yang dikasihinya.
13 Betapa berbahagianya orang yang mendapat hikmah, dan orang yang memperoleh pengertian,
14 kerana labanya lebih besar daripada keuntungan perak, dan hasilnya lebih berharga daripada emas.
15 Hikmah lebih bernilai daripada batu permata, dan apa-apa pun yang kamu idamkan tidak sebanding dengannya.
16 Di tangan kanannya umur panjang, di tangan kirinya kekayaan dan kehormatan.
17 Jalan-jalannya jalan keselesaan, dan segala lorongnya kesejahteraan.
18 Hikmah pokok hayat bagi yang berpaut padanya, berbahagialah orang yang memeluknya seerat-eratnya.
19 Dengan hikmah TUHAN meletakkan asas bumi, dan dengan pengertian Dia menetapkan langit.
20 Dengan pengetahuan-Nya sumber air yang dalam terpancar keluar, dan awan-awan menitiskan embun.
21 Hai anakku, peganglah hikmah dan kebijaksanaan, jangan biarkan semua itu luput daripada pandanganmu;
22 semua itu akan menjadi kehidupan bagi jiwamu dan perhiasan bagi lehermu.
23 Maka engkau akan melangkah di jalanmu dengan selamat, dan kakimu tidak akan tersandung.
24 Ketika berbaring, engkau tidak akan berasa takut, engkau akan berbaring dan mendapat nikmat tidur yang lena.
25 Janganlah takut terhadap kengerian yang datang tiba-tiba, atau terhadap kebinasaan yang kelak melanda orang durjana,
26 kerana TUHAN sumber keyakinanmu, dan akan menjaga kakimu daripada terjerat.
27 Janganlah menahan kebaikan daripada orang yang patut menerimanya, ketika engkau mampu melakukannya.
28 Jangan katakan kepada sesamamu, “Pergilah dan kembalilah lagi, esok akan kuberi,” padahal apa yang diminta itu ada padamu.
29 Janganlah merancang kejahatan terhadap jiranmu, walhal dia tinggal tanpa curiga berdekatan denganmu.
30 Jangan bersengketa tanpa alasan dengan orang yang tidak pernah berbuat jahat kepadamu.
31 Janganlah iri hati terhadap orang yang ganas, dan jangan memilih satu pun daripada jalannya,
32 kerana orang yang mungkar adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi Dia akrab dengan orang yang tulus ikhlas.
33 Kutukan TUHAN adalah terhadap rumah orang durjana, tetapi Dia memberkati kediaman orang benar.
34 Dia mencemuh para pencemuh, tetapi Dia memberikan anugerah kepada orang yang rendah hati.
35 Orang bijaksana akan mewarisi kehormatan, tetapi orang bodoh akan mendapat aib.