1 Tiga tahun lamanya tidak ada perang antara orang Aram dengan orang Israel.
2 Tetapi pada tahun ketiga, Yosafat, raja Yehuda, pergi mendapatkan Raja Israel.
3 Kata Raja Israel kepada para pegawainya, “Tahukah kamu bahawa Ramot-Gilead itu milik kita? Tetapi kita berdiam diri sahaja dan tidak merebutnya daripada tangan raja Aram.”
4 Lalu katanya kepada Yosafat, “Mahukah tuan berangkat bersama-samaku untuk berperang ke Ramot-Gilead?” Jawab Yosafat kepada Raja Israel, “Aku ini sehati dengan tuan, rakyatku dengan rakyat tuan, dan kuda-kudaku dengan kuda-kuda tuan.”
5 Namun demikian, kata Yosafat kepada Raja Israel, “Sebaiknya cari petunjuk TUHAN dahulu.”
6 Maka Raja Israel mengumpulkan nabi seramai kira-kira empat ratus orang lalu bertanya kepada mereka, “Bolehkah aku pergi berperang melawan Ramot-Gilead, atau haruskah aku membatalkannya?” Jawab mereka, “Pergilah, kerana Tuhan akan menyerahkannya ke dalam tangan Raja.”
7 Tetapi kata Yosafat, “Tidak adakah lagi di sini seorang nabi TUHAN, supaya kita dapat mencari petunjuk daripadanya?”
8 Kata Raja Israel kepada Yosafat, “Masih ada seorang lagi yang dapat disuruh untuk meminta petunjuk TUHAN, tetapi aku membenci dia, kerana dia tidak pernah menubuatkan hal yang baik tentang aku, melainkan hal yang buruk belaka. Dia ialah Mikha anak Yimla.” Kata Yosafat, “Janganlah Raja berkata demikian.”
9 Kemudian Raja Israel memanggil seorang pegawai istananya dan berkata, “Jemputlah Mikha anak Yimla dengan segera.”
10 Pada waktu itu, dengan menyarung pakaian kebesaran masing-masing, Raja Israel dan Yosafat, raja Yehuda, duduk di atas takhta masing-masing di tempat pembantingan di depan pintu gerbang Samaria, sementara semua nabi itu bernubuat di hadapan mereka.
11 Zedekia anak Kenaana membuat tanduk-tanduk bagi dirinya daripada besi lalu berkata, “Beginilah firman TUHAN, ‘Dengan inilah tuanku akan menanduk orang Aram sampai mereka tumpas.’ ”
12 Semua nabi pun bernubuat demikian, kata mereka, “Majulah ke Ramot-Gilead dan raihlah kejayaan, kerana TUHAN akan menyerahkannya ke dalam tangan Raja.”
13 Sementara itu utusan yang pergi memanggil Mikha berkata kepada Mikha, “Ketahuilah, nabi-nabi itu bersatu hati mengatakan hal yang baik kepada raja. Jadi, hendaklah kata-katamu sama dengan kata-kata seorang daripada kalangan mereka. Katakanlah hal yang baik.”
14 Jawab Mikha, “Demi TUHAN yang hidup, sesungguhnya apa yang difirmankan TUHAN kepadaku, itulah yang akan kukatakan.”
15 Setelah dia sampai di hadapan raja, berkatalah raja kepadanya, “Mikha, bolehkah kami pergi berperang ke Ramot-Gilead, atau haruskah kami membatalkannya?” Jawabnya kepadanya, “Pergilah dan raihlah kejayaan. TUHAN akan menyerahkannya ke dalam tangan Raja.”
16 Tetapi kata raja kepadanya, “Sampai berapa kali aku harus menyuruh engkau bersumpah untuk tidak mengatakan apa-apa kepadaku selain kebenaran dalam nama TUHAN?”
17 Kata Mikha, “Aku melihat semua orang Israel tercerai-berai di gunung-gunung seperti domba yang tidak bergembala. Lalu TUHAN berfirman, ‘Mereka ini tidak bertuan. Biarlah mereka pulang ke rumah masing-masing dengan selamat.’ ”
18 Kemudian Raja Israel berkata kepada Yosafat, “Bukankah sudah kukatakan kepadamu bahawa dia tidak pernah menubuatkan hal yang baik tentang aku, melainkan hal yang buruk belaka?”
19 Mikha berkata lagi, “Oleh sebab itu dengarlah firman TUHAN. Aku telah melihat TUHAN duduk di atas takhta-Nya, sementara seluruh angkatan syurga berdiri di sebelah kanan dan kiri-Nya.
20 Lalu TUHAN berfirman, ‘Siapakah yang mahu memujuk Ahab supaya dia maju dan tewas di Ramot-Gilead?’ Maka yang satu berkata begini dan yang lain berkata begitu.
21 Kemudian tampillah suatu roh, lalu berdiri di hadapan TUHAN. Katanya, ‘Aku akan memujuk dia.’ Firman TUHAN kepadanya, ‘Dengan apa?’
22 Jawabnya, ‘Aku akan keluar dan menjadi roh dusta di dalam mulut semua nabinya.’ Firman-Nya, ‘Engkau akan memujuk dia dan berjaya. Pergilah dan berbuatlah demikian!’
23 Sekarang ketahuilah, TUHAN telah mengizinkan roh dusta ditaruh di dalam mulut semua nabi tuanku itu. TUHAN telah menetapkan malapetaka terhadap tuanku.”
24 Kemudian Zedekia anak Kenaana mendekati lantas menampar pipi Mikha. Katanya, “Bagaimanakah mungkin roh daripada TUHAN itu berpindah daripadaku untuk berbicara kepadamu?”
25 Jawab Mikha, “Sesungguhnya, engkau akan mengetahuinya pada hari itu, ketika engkau masuk ke suatu bilik yang terdalam untuk bersembunyi.”
26 Maka Raja Israel memerintahkan, “Tangkap Mikha dan bawa dia kembali kepada Amon, pembesar kota itu, dan kepada Yoas, anak raja.
27 Katakanlah, ‘Beginilah perintah raja: Masukkan orang ini ke dalam penjara. Beri dia roti dan air serba sedikit sampai aku pulang dengan selamat.’ ”
28 Kata Mikha, “Jika tuanku betul-betul kembali dengan selamat, bererti TUHAN tidak berfirman melalui aku.” Lalu dia berkata, “Dengarlah, wahai bangsa sekalian!”
29 Kemudian majulah Raja Israel dengan Yosafat, raja Yehuda, ke Ramot-Gilead.
30 Kata Raja Israel kepada Yosafat, “Aku akan memasuki medan perang itu dengan menyamar diri. Tetapi engkau, kenakanlah pakaian kebesaranmu.” Maka menyamarlah Raja Israel, kemudian masuk ke medan perang.
31 Sementara itu raja Aram telah memberikan perintah kepada kesemua tiga puluh dua orang panglima pasukan ratanya demikian, “Jangan berperang melawan sesiapa pun, kecil ataupun besar, tetapi lawanlah Raja Israel sahaja.”
32 Pada waktu para panglima pasukan rata itu melihat Yosafat, mereka berkata, “Itu raja Israel.” Mereka berputar untuk berperang melawan dia, tetapi Yosafat berteriak.
33 Oleh itu, apabila para panglima pasukan rata itu menyedari bahawa dia bukanlah Raja Israel, berhentilah mereka mengejar dia.
34 Akan tetapi, ada seseorang menarik busur panah secara sembarangan sahaja, lalu memanah Raja Israel di antara sambungan baju zirahnya. Kemudian raja berkata kepada pengemudi ratanya, “Putar arah! Bawa aku keluar daripada pertempuran ini kerana aku terluka!”
35 Peperangan bertambah sengit pada hari itu, tetapi raja tetap ditopang berdiri di dalam rata berhadapan dengan orang Aram hingga dia mati pada petang hari. Darahnya mengalir dari lukanya ke lantai rata.
36 Kira-kira pada waktu matahari terbenam, terdengarlah seruan antara pasukan itu, “Pulanglah ke kota serta ke tanah masing-masing!”
37 Demikianlah mangkatnya raja. Mereka membawa jenazahnya ke Samaria, lalu memakamkannya di Samaria.
38 Rata itu dicuci di tepi kolam Samaria. Anjing-anjing menjilat darahnya, manakala perempuan-perempuan sundal mandi di tempat itu, selaras dengan firman yang telah disampaikan TUHAN.
39 Riwayat Ahab selebihnya, termasuk semua yang dilakukannya, istana gading yang dibinanya, dan semua kota yang dibinanya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel?
40 Lalu Ahab dibaringkan bersama dengan nenek moyangnya. Maka Ahazia, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.
41 Yosafat anak Asa menaiki takhta atas Yehuda pada tahun zaman keempat zaman pemerintahan Ahab, Raja Israel.
42 Umur Yosafat tiga puluh lima tahun pada waktu dia menaiki takhta. Dia bertakhta di Yerusalem selama dua puluh lima tahun. Nama ibunya ialah Azuba anak Silhi.
43 Dia hidup mengikuti segala jejak Asa, ayahnya, tanpa menyimpang daripada jalan itu. Dilakukannya apa yang benar di mata TUHAN. Namun demikian, bukit-bukit pemujaan tidak disingkirkannya. Rakyat masih mempersembahkan korban dan membakar dupa di bukit-bukit pemujaan itu.
44 Yosafat hidup damai dengan Raja Israel.
45 Riwayat Yosafat selebihnya, kejayaan yang dicapainya, dan bagaimana dia berperang, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda?
46 Saki-baki pelacur kuil kaum lelaki yang masih tinggal pada zaman Asa, ayahnya, disingkirkannya dari negeri itu.
47 Pada waktu itu tidak ada raja di Edom. Jadi, seorang ketua daerah menjadi raja.
48 Yosafat membuat kapal-kapal Tarsis yang berlayar ke Ofir untuk mencari emas, tetapi kapal-kapal itu tidak jadi berlayar kerana pecah di Ezion-Geber.
49 Ahazia anak Ahab berkata kepada Yosafat, “Biarlah anak buahku berlayar bersama-sama anak buah tuan di dalam kapal-kapal itu.” Tetapi Yosafat tidak mahu.
50 Lalu Yosafat dibaringkan bersama-sama nenek moyangnya dan dimakamkan di sisi nenek moyangnya di Kota Daud, leluhurnya. Maka Yoram, anaknya, menaiki takhta untuk menggantikannya.
51 Ahazia anak Ahab bertakhta atas Israel di Samaria pada tahun ketujuh belas pemerintahan Yosafat, raja Yehuda. Dua tahun lamanya dia bertakhta atas Israel.
52 Dia melakukan apa yang jahat di mata TUHAN dan hidup mengikuti jejak ayahnya, jejak ibunya, dan jejak Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel turut berdosa.
53 Dia beribadat kepada Baal dan sujud menyembahnya dan membangkitkan murka TUHAN, Allah Israel, iaitu kemurkaan dalam segala perkara dan cara sebagaimana yang dilakukan sebelumnya oleh ayahnya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 1 Raja-raja 22
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 1 Raja-raja 22

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV