1 Setelah ratu negeri Syeba mendengar khabar tentang kemasyhuran Salomo dalam hal yang berkaitan dengan nama TUHAN, datanglah dia untuk menguji Salomo dengan teka-teki.
2 Dia datang ke Yerusalem dengan rombongan yang amat besar dan unta-unta yang mengangkut rempah-ratus, serta emas dan batu permata yang sangat banyak. Ketika dia bertemu dengan Salomo, dia pun bercakap dengan Salomo tentang semua yang ada dalam benaknya.
3 Salomo menjawab semua pertanyaannya. Bagi raja, tidak ada hal tersembunyi yang tidak dapat dijelaskannya kepada ratu itu.
4 Maka setelah ratu negeri Syeba melihat segala kebijaksanaan Salomo, istana yang dibinanya,
5 santapan di mejanya, cara duduk pegawainya, cara pelayannya melayani dan berpakaian, jururasa santapannya, dan korban bakaran yang dipersembahkannya di Bait TUHAN, dia pun sangat takjub.
6 Katanya kepada raja, “Ternyata benar khabar yang kudengar di negeriku tentang tuan dan tentang kebijaksanaan tuan.
7 Aku tidak mempercayai khabar-khabar itu sampai aku datang dan melihatnya dengan mata kepalaku sendiri. Sesungguhnya, apa yang dikhabarkan kepadaku belumlah sampai separuh daripada semuanya. Kebijaksanaan dan kemakmuran tuan melebihi khabar yang kudengar.
8 Berbahagialah anak buah tuan dan berbahagialah pegawai tuan ini, yang sentiasa melayani tuan serta mendengar kebijaksanaan tuan.
9 Segala puji bagi TUHAN, Allahmu, yang telah berkenan kepada tuan, sehingga Dia mendudukkan tuan di atas takhta kerajaan Israel! Kerana TUHAN mengasihi Israel untuk selama-lamanya, maka diangkat-Nya tuan untuk menjadi raja, supaya tuan menegakkan keadilan dan perbenaran. ”
10 Kemudian ratu memberi raja seratus dua puluh talenta emas, rempah-ratus dan batu permata yang sangat banyak. Tidak pernah datang lagi rempah-ratus sebanyak pemberian ratu negeri Syeba kepada Raja Salomo itu.
11 Tambahan pula angkatan kapal Hiram, yang mengangkut emas dari Ofir, membawa dari Ofir banyak sekali kayu cendana dan batu permata.
12 Daripada kayu cendana itu raja membuat anjungan untuk Bait TUHAN dan istana raja, serta kecapi dan gambus bagi penyanyi. Kayu cendana yang demikian itu tidak pernah datang lagi dan tidak pernah terlihat lagi sampai hari ini.
13 Raja Salomo memberi ratu negeri Syeba semua yang dikehendakinya dan yang dimintanya, selain apa yang telah diberikan raja kepadanya selaras dengan kemurahan hati Raja Salomo. Lalu ratu itu berangkat pulang ke negerinya bersama-sama para pegawainya.
14 Emas yang dibawa kepada Salomo dalam setahun seberat enam ratus enam puluh enam talenta,
15 belum termasuk yang dibawa oleh semua saudagar, pedagang, raja Arab, dan pembesar negeri itu.
16 Raja Salomo membuat dua ratus perisai besar daripada emas tempaan. Enam ratus syikal emas terpakai untuk sebuah perisai besar.
17 Dia juga membuat tiga ratus perisai kecil daripada emas tempaan. Tiga mina emas terpakai untuk sebuah perisai kecil. Lalu raja menaruh semua itu di dalam gedung “Hutan Lebanon.”
18 Selain itu raja juga membuat sebuah takhta besar daripada gading dan menyalutnya dengan emas tua.
19 Takhta itu mempunyai enam anak tangga dan bahagian belakang takhta itu berpuncak bulat. Pada setiap sisi tempat duduknya ada pegangan tangan. Di sisi semua pegangan tangan itu berdirilah patung dua ekor singa,
20 manakala di atas keenam-enam anak tangga berdirilah patung dua belas ekor singa sebelah-menyebelah. Belum pernah dibuat barang seperti itu di kerajaan mana-mana pun.
21 Segala perkakas minuman Raja Salomo terbuat daripada emas, dan segala alat kelengkapan gedung “Hutan Lebanon” terbuat daripada emas murni, tidak ada yang terbuat daripada perak. Pada zaman Salomo perak sudah tidak dianggap berharga lagi.
22 Raja mempunyai kapal-kapal Tarsis di laut yang bergabung dengan kapal-kapal Hiram. Tiga tahun sekali kapal-kapal Tarsis itu datang mengangkut emas, perak, gading, kera, dan burung merak.
23 Dalam hal kekayaan dan kebijaksanaannya, Raja Salomo melebihi semua raja di bumi.
24 Orang dari seluruh bumi berikhtiar menghadap Salomo untuk mendengar kebijaksanaan yang diletak oleh Allah dalam hatinya.
25 Tahun demi tahun mereka datang membawa persembahan masing-masing, iaitu barang perak, barang emas, pakaian, senjata, rempah-ratus, kuda, dan baghal.
26 Salomo mengumpulkan rata dan pasukan berkuda. Dia mempunyai seribu empat ratus buah rata dan dua belas ribu orang pasukan berkuda yang ditempatkannya di kota-kota rata dan juga di Yerusalem bersama-sama raja.
27 Raja membuat perak di Yerusalem sama seperti batu kerana banyaknya, dan pokok araz sama banyaknya seperti pokok ara yang ada di Dataran Rendah.
28 Kuda untuk Salomo dibawa masuk dari Mesir dan dari Kewe. Saudagar-saudagar raja membelinya dari Kewe dengan harga pasaran.
29 Sebuah rata yang dibawa masuk dari Mesir berharga enam ratus syikal perak, manakala seekor kuda berharga seratus lima puluh syikal. Kemudian dengan perantaraan mereka semua itu dijual lagi kepada semua raja Het dan kepada raja-raja Aram.