1 Daripada Paulus, sebagai hamba Allah dan rasul Yesus Kristus demi iman semua orang pilihan Allah dan pengetahuan akan kebenaran yang menghasilkan kesalihan.
2 Iman dan pengetahuan itu berasaskan harapan untuk memperoleh hidup yang kekal. Allah tidak berdusta, Dia telah menjanjikan hidup ini sebelum permulaan zaman.
3 Pada masa yang telah ditentukan, Allah menyatakan janji itu melalui perkhabaran-Nya yang diamanahkan kepadaku. Aku menyebarkan perkhabaran ini dengan perintah Allah Penyelamat kita,
4 Kepada Titus, kamu seperti anakku sendiri dalam iman kita yang sama: Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Penyelamat kita menganugerahimu kasih kurnia dan damai sejahtera.
5 Aku telah meninggalkanmu di Kreta supaya kamu dapat melaksanakan segala hal yang masih perlu diselesaikan serta melantik tua-tua di setiap kota seperti yang telah kuarahkan kepadamu.
6 Seorang tua-tua hendaklah tidak bercela, dan beristeri seorang sahaja, manakala anak-anaknya haruslah hidup beriman dan tidak dapat dituduh berkelakuan liar serta ingkar.
7 Ini perlu kerana seorang penyelia jemaah memegang tugas mengendalikan pekerjaan Allah. Oleh yang demikian, dia mestilah tidak bercela – tidak menindas orang lain, tidak pemarah, tidak pemabuk, tidak ganas, dan tidak rakus.
8 Dia haruslah bersifat mesra, mencintai kebaikan, pandai menguasai diri, tulus, suci dan tertib.
9 Dia mesti berpegang teguh pada perkhabaran yang layak dipercayai serta selaras dengan asas iman. Dengan demikian dapatlah dia menggalakkan orang menerima ajaran yang benar dan menunjukkan kesilapan mereka yang menentang ajaran itu.
10 Sebabnya ada ramai pemberontak, orang yang bercakap kosong dan penipu, terutamanya orang yang dahulunya daripada mazhab persunatan.
11 Mulut mereka mesti ditutupkan kerana mereka telah memesongkan seisi keluarga orang dengan mengajar ajaran yang tidak patut – untuk mendapat keuntungan yang haram.
12 Seorang nabi mereka dari Kreta pernah berkata, “Orang Kreta pembohong. Mereka rakus dan malas laksana binatang buas.”
13 Kata-kata kesaksian itu memang benar. Oleh itu tegurlah mereka dengan tegas supaya iman mereka kukuh
14 dan tidak terpengaruh dengan cerita karut orang Yahudi atau perintah-perintah yang dikenakan oleh orang yang menolak ajaran yang benar.
15 Bagi orang yang suci, segala-galanya suci. Sebaliknya bagi orang yang fikirannya dinodai dosa dan tidak percaya akan kebenaran, tiada suatu pun yang suci, kerana jiwa dan hati nuraninya sudah tercemar.
16 Mereka mendakwa mereka mengenal Allah, tetapi perbuatan mereka tidak membuktikan dakwaan ini. Mereka terkutuk, ingkar kepada Allah, dan tidak dapat melakukan sesuatu yang baik.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Titus 1
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Titus 1

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke