1 Inilah permulaan Injil tentang Yesus Kristus, Anak Allah,
2 Seperti yang tersurat dalam kitab Nabi Yesaya: “Ketahuilah, Aku akan menghantar utusan-Ku untuk mendahului-Mu; dialah yang akan menyediakan jalan bagi-Mu,
3 satu suara berseru di gurun: ‘Sediakanlah jalan untuk Tuhan, luruskanlah jalan untuk-Nya.’ ”
4 Demikianlah Yohanes muncul di gurun, membaptis orang dan mengkhabarkan satu baptisan pertaubatan untuk pengampunan dosa.
5 Ramailah orang yang datang dari Yudea dan Yerusalem untuk mendengar kata-kata Yohanes. Mereka mengakui dosa mereka lalu dibaptiskan oleh Yohanes di Sungai Yordan.
6 Yohanes memakai pakaian yang dibuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya daripada kulit. Dia makan belalang dan madu gurun.
7 Inilah beritanya: “Seorang yang lebih besar daripadaku akan datang selepasku. Tali kasut-Nya pun tidak layak kuurai.
8 Aku membaptismu dengan air, tetapi Dia akan membaptismu dengan Roh Kudus.”
9 Kemudian Yesus datang dari Nazaret di Galilea, lalu dibaptiskan oleh Yohanes di Sungai Yordan.
10 Ketika Yesus keluar dari sungai itu, Dia melihat langit terbuka dan Roh Kudus seperti burung merpati turun hinggap ke atas-Nya.
11 Lalu kedengaran suara dari syurga: “Engkaulah Anak-Ku yang Kukasihi dan dengan-Mu Aku berkenan.”
12 Lantas, Roh memimpin Yesus ke gurun.
13 Yesus di situ selama empat puluh hari dan digoda oleh Iblis serta dikelilingi binatang liar. Para malaikat datang melayani-Nya.
14 Setelah Yohanes dipenjarakan, Yesus pergi ke Galilea lalu mengkhabarkan Injil daripada Allah.
15 Yesus berkata, “Sudah genap masanya dan kerajaan Allah hampir tiba. Bertaubatlah dan percayalah akan Injil ini!”
16 Ketika Yesus sedang berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia ternampak Simon dan saudaranya Andreas, sedang menebarkan jala di danau kerana mereka nelayan.
17 Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku dan Aku akan menjadikan kamu penjala insan.”
18 Dengan serta-merta mereka meninggalkan jala mereka dan mengikut-Nya.
19 Sejurus berjalan, Yesus melihat dua orang lagi adik-beradik, bernama Yakobus dan Yohanes, anak Zebedeus. Mereka sedang duduk mengemaskan jala di dalam perahu.
20 Yesus terus memanggil mereka. Kedua-dua beradik itu meninggalkan bapa mereka, Zebedeus, dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Yesus.
21 Yesus dan murid-murid-Nya tiba di Kapernaum. Pada hari Sabat berikutnya, Yesus masuk ke saumaah lalu mengajar.
22 Mereka kagum dengan ajaran-Nya kerana Dia mengajar dengan penuh wibawa, tidak seperti ahli Taurat mereka.
23 Ketika itu seorang yang dirasuk roh jahat berada di saumaah. Dia berseru:
24 “Apa yang hendak Kaubuat kepada kami, hai Yesus orang Nazaret? Adakah Engkau hendak membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau ini. Engkau Yang Suci daripada Allah!”
25 Yesus membentak roh itu, “Diam! Keluar daripada dia!”
26 Roh jahat itu menggoncang-goncang tubuh orang yang dirasuknya lalu keluar sambil menjerit.
27 Hal ini menyebabkan semua orang tercengang lalu berbisik sesama sendiri, “Adakah ini suatu ajaran baru? Dia memerintah roh-roh jahat dengan penuh kuasa dan mereka menurut kata-Nya.”
28 Dengan demikian, khabar tentang Yesus segera tersebar ke seluruh Galilea.
29 Yesus dan murid-Nya, termasuk Yakobus dan Yohanes, keluar dari saumaah itu lalu ke rumah Simon dan Andreas.
30 Ibu mertua Simon sedang demam terbaring di tempat tidur. Setibanya Yesus di situ, Dia diberitahu tentang hal itu.
31 Yesus menghampiri ibu mertua Simon, memegang tangannya dan menolongnya bangun. Demam wanita itu hilang lalu dia melayan mereka.
32 Apabila malam menjelang, semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus.
33 Semua penduduk kota berhimpun di hadapan pintu itu.
34 Yesus menyembuhkan ramai orang daripada pelbagai penyakit. Dia juga menghalau roh-roh iblis sambil memerintahkan mereka diam kerana mereka tahu siapa Dia.
35 Keesokannya, pada waktu subuh, Yesus bangun lalu pergi ke luar kota ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa.
36 Simon dan rakan-rakannya pergi mencari Yesus.
37 Setelah menjumpai-Nya, mereka berkata: “Semua orang sedang mencari-Mu!”
38 Yesus berkata, “Kita mesti ke kota-kota lain di negeri ini supaya Aku dapat menyebarkan Injil di sana. Sebab untuk itulah, maka Aku datang.”
39 Lalu Yesus menjelajah ke serata Galilea dan berkhutbah di saumaah dan menghalau roh-roh iblis.
40 Seorang yang menghidap penyakit kusta datang kepada Yesus lalu berlutut meminta pertolongan-Nya. Katanya, “Jika Engkau mahu, Engkau dapat mentahirkanku.”
41 Yesus berbelas kasihan lalu menghulurkan tangan-Nya menyentuh orang itu sambil berkata, “Aku mahu. Tahirlah!”
42 Pada saat itu juga orang itu ditahirkan daripada penyakit kusta.
43 Yesus segera menyuruhnya pergi dengan memberikan suatu peringatan keras:
44 “Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini. Pergilah dan tunjukkan dirimu kepada imam serta persembahkan korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai kesaksian kepada mereka bahawa kamu sudah ditahirkan.”
45 Tetapi orang itu menyebarkan hal itu merata-rata dan terus-menerus, sehingga Yesus tidak dapat masuk ke bandar terang-terangan. Yesus tinggal di luar kota di tempat-tempat yang lengang, namun orang dari pelbagai kawasan datang kepada-Nya.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Markus 1
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Markus 1
Studi Alkitab dengan Video LUMO, silahkan lihat LUMO Indonesia :: Markus

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke