1 Pastikan kasih persaudaraan berpanjangan.
2 Jangan lupa meraikan orang asing, kerana dengan berbuat demikian ada orang yang telah meraikan para malaikat tanpa mengetahuinya.
3 Ingatlah kepada orang yang terpenjara seolah-olah kamu terantai bersama mereka; kenanglah orang yang dianiaya seolah-olah kamu juga dianiaya, kerana kamu dan mereka adalah satu.
4 Hendaklah perkahwinan dianggap mulia oleh semua, dan tempat tidur dijaga supaya tidak tercemar kerana Allah akan menghukum penzina baik yang bujang mahupun yang sudah berkahwin dan mengkhianati pasangannya.
5 Jagalah hidupmu supaya jangan menjadi pencinta wang; kamu harus berasa cukup dengan apa yang ada padamu. Dia sendiri telah berjanji: “Aku tidak sekali-kali akan meninggalkanmu. Aku tidak sekali-kali akan membiarkanmu.”
6 Oleh itu, kita boleh berkata dengan bersemangat: “Tuhan Penolongku; Aku tidak akan takut. Apa yang dapat dilakukan manusia kepadaku?”
7 Ingatlah mereka yang menjadi ketuamu yang telah menyampaikan firman Allah kepadamu. Teladani iman mereka, perhatikan hasil jalan hidup mereka.
8 Yesus Kristus tetap sama kelmarin, hari ini dan selama-lamanya.
9 Jangan terikut-ikut pelbagai ajaran yang berlainan daripada ajaran yang benar. Tetapkan hati dengan kasih kurnia Allah, bukan dengan makanan yang tidak menguntungkan mereka yang asyik dengannya.
10 Kita mempunyai mazbah di mana orang yang menjalankan ibadat khemah tidak berhak makan sesuatu daripadanya.
11 Bangkai semua binatang, yang darahnya dibawa masuk ke tempat suci oleh Imam Besar untuk menebus dosa, dibakar di luar perkhemahan.
12 Oleh itu, Yesus juga, untuk menyucikan umat manusia dengan darah-Nya sendiri, menderita di luar pintu gerbang.
13 Dengan demikian marilah kita pergi mendapatkan-Nya, di luar perkhemahan, dan menanggung celaan yang dideritai-Nya.
14 Di sini kita tidak ada kota kekal, tetapi kita berusaha mendapatkan kota yang akan datang.
15 Oleh itu, melalui-Nya marilah kita terus-menerus mempersembahkan korban iaitu pujian kepada Allah, sebagai buah-buahan hasil bibir kita, sambil bersyukur kepada nama-Nya.
16 Tetapi jangan lupa berbuat baik dan berkongsi, kerana korban demikianlah yang diredai Allah.
17 Taati ketua-ketuamu, dan hendaklah kamu bersikap patuh, kerana mereka mengawasi keselamatan rohanimu, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan kelak atas perlakuanmu. Pastikanlah bahawa mereka melakukannya dengan sukacita, bukan dengan dukacita kerana itu tidak akan membawa keuntungan kepadamu.
18 Doakanlah kami; kerana kami yakin hati nurani kami bersih, ingin hidup bermaruah dalam segala hal.
19 Tetapi aku terutamanya mendesakmu berbuat demikian, supaya aku dikembalikan kepadamu lebih awal.
20 Semoga Allah kesejahteraan yang telah membangkitkan Tuhan kita Yesus daripada kematian, Gembala domba yang mulia itu, melalui darah perjanjian kekal,
21 melengkapkan kamu dengan segala yang baik untuk melakukan kehendak-Nya, mengusahakan dalam dirimu apa yang diredai-Nya, melalui Yesus Kristus, bagi-Nya kemuliaan selama-lamanya. Amin.
22 Aku merayu kepadamu, saudara-saudara, dengarlah nasihatku ini dengan sabar, kerana aku menulis ringkas sahaja kepadamu.
23 Ketahuilah bahawa saudara kita Timotius telah dibebaskan. Aku akan menemui kamu bersamanya jika dia datang segera.
24 Sampaikan salamku kepada semua ketuamu dan semua umat yang salih. Saudara-saudara dari Itali berkirim salam kepadamu.
25 Semoga kasih kurnia menyertai kamu semua. Amin.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ibrani 13
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ibrani 13

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke